Sergio Ramos mengaku dirinya begitu puas selepas membantu pasukannya menewaskan Ajax Amsterdam 2-1 pada perlawanan pertama, pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Johan Cruijff Arena itu juga turut menyaksikan aksi ke-600 buat kapten Real Madrid tersebut bersama Los Blancos.
Kemenangan itu juga menjadi modal penting buat Real Madrid untuk perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu yang dijadualkan akan berlangsung pada, 6 Mac nanti.
Menderita di Bernabeu
Ramos mengaku, dia rakan sepasukan terpaksa bekerja keras untuk meraih keputusan tersebut, memandangkan Ajax memberi tentangan yang sengit di tempat sendiri.
Statistik menunjukkan Ajax tampil lebih dominan diawal perlawanan dengan melakukan banyak serangan berbahaya dan melepaskan percubaan mencetak gol.
Namun, Ramos percaya pertemuan seterusnya (di Bernabeu) nanti akan memberi penderitaan buat pasukan pelawat.
“Ajax bermain dengan bagus dan mereka sedang berada dalam prestasi terbaik. Mereka memberikan tekanan yang sangat tinggi dan susah untuk membiarkan kami menerima bola, jadi kami cuba bermain dengan melakukan hantaran jauh.”
“Sekarang, mereka akan ke Bernabeu dan mereka akan menderita di depan penyokong kami.” kata Ramos.
Tanpa Ramos
Bagaimanapun, pertahanan Sepanyol itu tidak akan terlibat dalam perlawanan tersebut. Ini kerana, beliau telah mengumpul layangan kad kuning ketiga untuk kejuaraan ini.
Ramos pasti kecewa kerana tidak berpeluang untuk bersama rakan sepasukannya menghadapi Ajax selepas ini.
Hasrat beliau untuk melihat Ajax menderita hanyalah sekadar melalui bangku penonton bukan turun sebagai pemain.
Kehilangan Ramos tentu memberi sedikit kesan buat benteng pertahanan pasukan menjelang pertembungan tersebut.
Pemain muda, Jesus Vallejo dijangka akan mengisi kekosongan Ramos untuk berganding dengan Nacho Fernandez di bahagian pertahanan tengah untuk perlawanan bertemu Ajax nanti.