Pengendali tersohor Manchester United, Sir Alex Ferguson telah memutuskan untuk meninggalkan kelab itu pada tahun 2013.
Setelah enam tahun meninggalkan Old Trafford, Manchester United telah melakukan pertukaran pengurus bersilih ganti bermula dari David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan terkini, Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara.
Setakat ini, hanya lima pemain di era Ferguson yang masih bertahan bersama United selepas Michael Carrick bersara pada 30 Jun 2018. Siapakah mereka?
1. David De Gea
Penjaga gol Sepanyol ini menyertai United dari kelab La Liga, Atletico Madrid dengan nilai dilaporkan 18.9 juta pound pada Jun 2011. Ferguson mendatangkan De Gea bagi menggantikan Edwin van der Sar yang bersara pada 28 Mei 2011.
De Gea bagaimanapun gagal menjalani musim pertamanya dengan dengan memuaskan kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak Inggeris.
Namun, di musim seterusnya, De Gea semakin menunjukkan peningkatan prestasi sehingga beliau mula menjadi sasaran oleh kelab-kelab besar seperti Real Madrid, Barcelona dan Paris Saint-Germain(PSG).
2. Phil Jones
Jones didatangkan dari Blackburn Rovers pada musim panas 2011 dengam nilai perpindahan sebanyak 16.5 juta pound. Pertahanan England ini terus mendapat kepercayaan pada musim pertamanya untuk berada dalam kesebelasan utama dengan tampil dalam 41 perlawanan.
Namun, selepas pada itu, Jones kerap kali ‘dihantui’ dengan masalah kecederaan sehingga beliau jarang diturunkan sepanjang musim sehingga kehari ini. Musim ini sahaja, Jones hanya diturunkan dalam tiga perlawanan dan hanya sekadar menjadi pemain sandaran kepada Chris Smalling, Eric Bailly, dan Victor Lindelof.
3. Chris Smalling
Ferguson membawa masuk Chris Smalling dari Fulham pada musim panas 2010 bagi tujuan memperkemaskan struktur pertahanan dimasa hadapan memandangkan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic semakin dimamah usia.
Namun, Smalling tampil tidak konsisten seperti yang diharapkan, sehingga beliau pernah diketepikan dari skuad utama akibat masalah prestasi.
Bagaimanapun, pada 16 Disember 2018, United masih berminat mengekalkannya dengan bersetuju melanjutkan kontrak untuk tempoh tiga tahun setengah, dengan pilihan lanjutan untuk tahun berikutnya.
4. Ashley Young
Young merupakan pemain kedua paling tua (33 tahun 7 bulan) dalam kem United pada ketika ini. Beliau memulakan kariernya di Old Trafford pada tahun 2011 selepas dibeli dari Aston Villa.
Kemampuannya bermain diposisi berbeza membolehkannya terus kekal sehingga kini. Terbaru, bekas pemain skuad kebangsaan England itu dilanjutkan kontrak baharu selama 12 bulan.
5. Antonio Valencia
Valencia memikul tugas sebagai ketua pasukan selepas Michael Carrick meninggalkan pasukan. Memperkuatkan United selama 10 tahun melayakkan dirinya untuk diberi pengiktirafan tersebut.
Ferguson merekrut Valencia dari Wigan Athletic bagi menggantikan posisi sayap kanan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo pada 2009.
Pemain kebangsaan Ecuador ini bagaimanapun mengalami kesulitan dan hampir memutuskan untuk meninggalkan United selepas tidak sebulu dengan Jose Mourinho.
Namun, segalanya berakhir apabila Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih dan mengesahkan bahawa Valencia akan kekal sebagai ketua pasukan kelab itu.