Kelayakan ACL 2019: Dua Produk SMK St. Michael Ipoh Pacu Perak Ke Korea Selatan

Perak

Perak berjaya melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019 selepas berjaya menundukkan wakil Hong Kong, Kitchee SC menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Ia merupakan perlawanan yang cukup mendebarkan selepas aksi 120 minit berkesudahan terikat 1-1.

Dua sahabat baik sejak zaman persekolahan, Hafizul Hakim Khairul Nizam dan Kenny Pallraj muncul wira buat pasukan Perak.

Separuh masa pertama

Menentang pasukan pelawat yang merupakan juara Liga Perdana Hong Kong musim lalu langsung tidak menjejaskan tumpuan para pemain Perak bagi mempamerkan aksi meyakinkan.

Ia dibuktikan apabila skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu hampir mendahului pada minit ke-3 menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho.

Gilmar yang mendapat umpanan cantik daripada Brendan Gan berjaya melepasi kawalan pertahanan Kitchee SC.

Namun, penyerang kelahiran Brazil itu hampa apabila rembatannya ditangkap kemas Wang Zhengpeng walaupun Gilmar sekadar berhadapan dengan penjaga gol tersebut.

Kesilapan hantaran pertahanan tengah, Idris Ahmad di luar kawasan penalti Perak pula nyata mencemaskan kem Perak, bagaimanapun sepakan lambung yang dilakukan Azevedo Pedreira sekadar melewati palang gol.

Para penyokong Perak yang cemas dengan kesilapan Idris itu kemudiannya terus melonjak kegembiraan selepas Wander Luiz Bitencourt Junior menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14.

Berpunca daripada hantaran lintang Norhakim Hassan dari sebelah kiri pintu gol Kitchee, Gilmar melakukan tandukan yang kemudiannya Wander Luiz sempat menghulurkan kaki bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Jentera pertahanan Perak juga dilihat memainkan peranan cukup positif dalam menyerap asakan-asakan dilancarkan unit serangan Kitchee yang diketuai Lucas Espindola.

Separuh masa kedua

Kitchee SC terpaksa bermain dengan sepuluh pemain sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung selepas Matthew Smith diperintah keluar padang akibat kad kuning kedua yang diterima pada minit ke-49.

Insiden kad merah tersebut memberikan sepakan percuma buat Perak betul-betul di hadapan kawasan penalti Kitchee SC.

Sepakan rendah yang diambil Leandro Dos Santos tidak memberikan sebarang masalah buat Zhengpeng yang menangkap kemas percubaan tersebut.

Kekurangan seorang pemain jelas tidak dihiraukan Kitchee yang berusaha keras untuk menyamakan kedudukan.

Azevedo memberikan ancaman berbahaya pada minit ke-65 apabila sepakan sudut yang diambil pemain import daripada Brazil itu ditepis keluar Hafizul Hakim ketika bola semakin hampir menerjah gawang Perak.

Seminit kemudian, Hafizul Hakim sekali lagi bertindak cemerlang dengan menyelamatkan rembatan leret yang dilepaskan Azevedo dalam kawasan penalti.

Kemuncak tekanan yang diberikan Kitchee semakin dirasai Shahrul Mohd Saad dan rakan sepasukan apabila mereka berjaya menjaringkan gol, namun jaringan tersebut dibatalkan akibat kekasaran yang dilakukan pemain mereka.

Perak berpeluang mematikan sisa perjuangan pelawat selepas mencipta peluang menarik pada minit ke-83, bagaimanapun Wander Luiz melakukan percubaan lambung mudah dihalang Wang Zhengpeng selepas menerima umpanan daripada Gilmar.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, kelalaian jentera pertahanan Perak ketika situasi sepakan sudut memakan diri apabila Li Ngai Hoi yang tidak dikawal berjaya menyamakan kedudukan.

Masa tambahan

Aksi masa tambahan memperlihatkan pemain Perak lebih bertenaga dalam mengharungi masa tambahan.

Dua peluang terbaik dimiliki Perak pada babak pertama apabila Gilmar yang mengawal bola dengan baik dalam kawasan penalti melepaskan rembatan padu tetapi pertahanan Kitchee lebih pantas menghalang percubaan tersebut.

Wander Luiz pula mensia-siakan peluang dimiliki apabila menanduk tersasar bola hantaran jauh dilakukan Amirul Azhan walaupun beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol.

Penguasaan yang dijelmakan Perak masih belum mampu untuk menghalang pemenang malam ini ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sepakan penalti

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sekali lagi muncul wira seperti dilakukan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Kitchee FC.

Ia turut dibantu Kenny Pallraj yang menyempurnakan sepakan terakhir bagi menempah pertemuan dengan Ulsan Hyundai di Korea Selatan pada peringkat kelayakan seterusnya.

Kredit foto: Kitchee SC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN