MFL Mahu Hargai Pasukan Yang Tak ‘Kedekut’ Lepaskan Pemain Untuk Tugasan Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 12 Februari: Malaysian Football League (MFL) bercadang untuk memberikan hak keistimewaan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia yang sudi melepaskan pemain mereka menyertai pasukan kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan termasuk hak keistimewaan itu kepada Ahli Lembaga Pengarah badan pentadbir liga tanah air dalam usaha membantu agenda negara demi kepentingan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Jelas Kevin, beliau percaya cadangan dengan memberikan hak keistimewaan kepada pasukan-pasukan secara tidak langsung menjadikan situasi menang-menang di antara pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia dan skuad kebangsaan baik senior mahupun peringkat umur.

“Buat masa ini, peraturan-peraturan diberikan keutamaan kepada pasukan senior kebangsaan dan bukan kepada pasukan (muda) tetapi bagaimana MFL pula boleh menyokong pasukan (muda) kebangsaan dalam isu ini pihak sekretariat diketuai oleh saya mungkin boleh bawa isu ini kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat.

“Mungkin beberapa cadangan yang kemungkinan kita boleh memberikan keistimewaan kepada pasukan-pasukan yang melepaskan pemain mereka.

“Apa keistimewaan itu masih belum dibincangkan lagi dengan Ahli Lembaga Pengarah MFL tetapi mungkin kita boleh ketengahkan satu cadangan jika satu pasukan itu sedia melepaskan pemain, mereka boleh daftar 35 pemain, bukan 30 pemain dalam Liga Malaysia misalnya jika itu memberikan kelebihan kepada sesuatu pasukan.

“Kita tidak boleh memaksa tetapi daripada sudut liga, agenda kebangsaan dan juga kejayaan pasukan kebangsaan adalah satu kejayaan penting buat liga. Ini kerana pasukan kebangsaan berjaya kita pun mendapat sokongan dan minat yang lebih lagi daripada para penyokong, penaja dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Shopee selepas menandatangani penajaan tahun kedua Shopee di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad dan Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho dalam majlis memeterai perjanjian penajaan tahun kedua Shopee Piala FA 2019 sekali gus mengekalkan nama Shopee Piala FA sebagai nama rasmi kejohanan musim ini.

Sementara itu, Kevin menegaskan MFL sentiasa berusaha keras untuk membantu pasukan kebangsaan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan agenda negara di peringkat antarabangsa khusus kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia.

“Kita perlu beri sokongan dan sentiasa memberikan sokongan. Mungkin MFL boleh ketengahkan satu peraturan atau cadangan bagi memberikan keistimewaan tetapi seperti saya katakan tadi itu cuma (pendaftaran 35 pemain) baru di peringkat cadangan.

“Banyak lagi perkara perlu dibuat dan ia juga memerlukan persetujuan daripada pasukan-pasukan. Keputusan MFL dibuat daripada pasukan-pasukan yang bersama MFL.

“Jika sebilangan besar menyokong dan melepaskan pemain, mungkin cadangan ini boleh diluluskan dan keistimewaan diberikan kepada mana-mana pasukan yang sanggup melepaskan pemain mereka untuk agenda kebangsaan,” tambahnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN