Real Madrid semakin memperbaiki kedudukan dalam saingan La Liga selepas berjaya menundukkan musuh setempat, Atletico Madrid 3-1. Aksi yang turut dikenali sebagai El Derbi Madrileño.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila ia merupakan kemenangan pertama buat Real Madrid di Wanda Metropolitano. Stadium yang tidak terlalu jauh daripada Santiago Bernabeu.
Skuad bimbingan Santiago Hernan Solari itu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 selepas Casemiro melakukan percubaan akrobatik apabila beliau tidak dikawal pertahanan ketika situasi sepakan penjuru.
Walaupun penjaga gol, Jan Oblak berusaha keras meluru pantas ke arah Casemiro, ia bagaimanapun tidak menghalang bola dari menerjah gawang Atletico Madrid.
Kegembiraan Real Madrid hanya bertahan selama sembilan minit selepas Antoine Griezmann berjaya melepasi perangkap ofsaid sekaligus melakukan percubaan yang melepasi celah kaki Thibaut Courtois.
Pemain Real Madrid mendakwa Griezmann berada dalam kedudukan ofsaid, namun keputusan Video Assistant Referee (VAR) masih memihak skuad bimbingan Diego Simeone untuk kedudukan kembali terikat.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung babak pertama, sekali lagi khidmat VAR diperlukan setelah Jose Gimenez mengasari Vinicius Junior dalam kawasan penalti.
Sepakan penalti diberikan kepada Real Madrid dan Sergio Ramos tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan yang diambil pada minit ke-43 itu.
Alvaro Morata hampir kembali menyamakan kedudukan tetapi jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-55 dibatalkan selepas beliau didakwa berada dalam kedudukan ofsaid oleh VAR.
Pemain antarabangsa Wales, Gareth Bale mematikan sisa perjuangan Atletico Madrid dengan jaringan ketiga pada minit ke-74.
Jaringan tersebut merupakan gol ke-100 buat beliau dalam semua pertandingan bersama Real Madrid.
Kemenangan bergaya yang diraih Real Madrid meletakkan Los Blancos kini di tangga kedua La Liga dengan mengumpul 45 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.
Barcelona masih unggul di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata namun, The Blaugrana masih kekurangan satu perlawanan dan akan bertemu Athletic Bilbao, awal pagi esok.