Biarpun dihimpit isu tunggakan gaji lebih RM1 juta, Felda United masih berjuang dalam saingan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 dan akan berdepan PKNP FC pada aksi malam nanti.
Kapten Felda United, Hadin Azman mahukan rakan-rakan pasukan manfaatkan aksi di laman sendiri dengan meraih 3 mata penuh. Baginya, ia akan meningkatkan motivasi buat pasukan.
“Sudah pasti kami akan memanfaatkan aksi di laman sendiri dan tidak sesekali membenarkan lawan membawa pulang mata untuk meletakkan pasukan ini dalam kedudukan terbaik saingan liga.
“Kelebihan beraksi di laman sendiri tidak boleh dipersia-siakan terutama untuk mengembirakan peminat The Fighters yang selama ini memberikan sokongan,” ujar Hadin kepada Berita Harian.
Minggu lalu, Felda United berjaya mengikat Selangor dalam perlawanan pertama liga dengan keputusan 1-1 di Stadium Shah Alam hasil jaringan penyamaan oleh Hadin sendiri.
Dengan penghijrahan majoriti pemain-pemain berpengalaman bersama-sama ketua jurulatih, B. Sathianathan, rentak Felda United jelas berbeza dengan apa yang dipamerkan musim lalu.
Antara pemain-pemain tonggak yang telah berhijrah seperti kapten, Shukor Adan (Melaka United), Wan Zack Haikal (Selangor), Syamim Yahya (Terengganu FC) dan Alif Yusof (Kedah).
Jentera serangan juga terkesan dengan pemergian penjaring terbanyak, Thiago Augusto. Peledak baharu yang dibawa masuk musim ini, Jaycee John pula masih belum mendapat sentuhan.
“Bagi meraih tiga mata, kami perlu meningkatkan prestasi dan menambah ketajaman di bahagian serangan.” ulas Hadin lagi.
Berdasarkan rekod, Jaycee John bukanlah penyerang sembarangan kerana sudah terbukti pemain ini miliki sentuhan penyudah yang baik ketika bersama Bangkok United di Thai League 1, Thailand.
Pada musim 2016, penyerang berusia 33 tahun itu menjadi penjaring terbaik kelab dan turut membantu Bangkok United meraih kedudukan kedua liga, di belakang Muangthong United.
Sementara itu, pemain baharu The Fighters, Jasazrin Jamaluddin percaya keputusan menentang Gergasi Merah tempohari menambah keazaman pasukan untuk memberikan yang lebih baik.
Pemain tengah itu menyatakan yang ia adalah misi yang tidak mustahil untuk direalisaikan oleh barisan pemain terutamanya apabila beraksi di laman sendiri, Stadium Tun Abd Razak, Jengka.
“Namun, kami tidak boleh memandang keupayaan lawan kerana PKNP yang tewas 2-0 kepada Kedah juga pastinya tidak mahu pulang hampa,” ujarnya kepada Berita Harian.