“I’ve been in 100 AFC games and never in my life i see you guys got so unprepared like this.”
Kata-kata di atas jelas kedengaran daripada Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin kepada Match Commisioner, M. Elagkoven selepas pengadil perlawanan yang mengadili pasukan kendalian beliau dan Perak mengalami kekejangan otot kaki dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada malam tadi.
Dalam perlawanan pada malam tadi membabitkan kedua-dua pasukan, pengadil pertama, Hamdan Awang mengalami kekejangan otot pada minit ke-67 perlawanan. Insiden ini menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan lebih dari 15 minit, selepas pengadil ke-4 pula berasal dari Perak.
Aksi kemudiannya bersambung semula selepas itu, selepas kedua-dua pasukan terpaksa bersetuju agar pembantu pengadil pertama, Mohd Shahreen Omar tampil untuk mengadili perlawanan. Hamdan disahkan mengalami kecederaan harmstring selepas itu. Bagaimana fiasco pengadil ini boleh berlaku di Ipoh semalam, hanya Malaysian Football League (MFL) yang mampu tampil dengan penjelasan sewajarnya.
Namun adakah ini insiden pertama seumpama ini berlaku di seluruh dunia. Mungkin tidak pernah berlaku dalam mana-mana 100 perlawanan yang pernah Aidil Shahrin terlibat, namun ia jelas bukan pertama kali berlaku berdasarkan beberapa perkongsian daripada pembaca kami.
Arsenal Ladies vs Reading FC Women (Ogos, 2015)
Kisah ini tidak melibatkan pengadil utama, tetapi pembantu pengadil yang berperanan sebagai penjaga garisan.
“Jika ada di kalangan anda yang layak menjadi pembantu pengadil berada di stadium ini, sila nyatakan diri anda.”
Demikianlah pengumuman di dalam stadium. Pengumuman itu dilakukan selepas selesai babak pertama perlawanan yang berlangsing di antara skuad wanita Arsenal dan Reading dalam satu perlawanan Continental Cup.
Namun ianya bukan kebetulan untuk pengadil terkenal, Michael Oliver untuk berada di situ dan menawarkan khidmat beliau untuk perlawanan tersebut. Pembantu pengadil yang asal untuk perlawanan tersebut dipercayai mengalami kecederaan.
Michael Oliver sememangnya berada di stadium tersebut untuk menyaksikan perlawanan yang turut diadili oleh isteri beliau, Lucy Oliver sebagai pengadil pertama. Tanpa membuang masa, Oliver menukar pakaian, dan mengambil peranan sebagai penjaga garisan untuk perlawanan tersebut.
Norwich City vs Preston North End (November, 2017)
Keadaan agak kecoh ketika perlawanan di antara Norwich City dan Preston North End di Sky Bet Championship sedang berlangsung selepas pembantu pengadil, Mark Jones mengalami kecederaan pangkal paha.
Pembantu pengadil keempat tampil menggantikan Jones, namun mereka mempunyai masalah lain kerana tidak mempunyai pengadil keempat yang akan mengendalikan penggantian pemain dan urusan lain di kawasan teknikal padang.
Mujurlah Alex Neil yang merupakan pengurus Norwich pada ketika itu mengecam salah seorang penyokong yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pengadil. Seorang pengadil berkelayakan, juga seorang penyokong Cannaries, David Thornhill tidak bertugas pada ketika itu dan berada di Carrow Road untuk menyaksikan perlawanan.
David Thornhill kemudiannya menjalankan tugas sebagai pegawai keempat perlawanan selepas dipersetujui oleh pengadil pertama, Tim Robinson.
Stoke City vs Leicester City (November, 2017)
Lain pula kisahnya di Stadium Bet365 ketika perlawanan di antara Stoke dan Leicester pada hari perlawanan Sabtu. Ia bukan satu kebiasaan, tetapi pengadil perlawanan Bobby Madley terpaksa mengambil keputusan menggantikan dirinya selepas mengalami kecederaan pangkal pada pada minit ke-30 perlawanan.
Pertukaran tersebut sekaligus memberi peluang kepada pengadil keempat, Jon Moss untuk mengadili perlawanan. Jangan risau. Tidak ada isu Jon Moss adalah berasal daro Stoke atau Leicester di sini. Pihak Premier League amat teliti dalam hal membabitkan peraturan perlawanan, dan pertikaian yang mungkin timbul.
Pertukaran pengadil di antara Madley dan Moss mengambil sedikit masa kerana turut harus menyerahkan perkasasan lain seperti kad, dan nota perlawanan yang mengandungi rekod 30 minit perlawanan.
Madley kemudiannya mengambil peranan sebagai pengadil keempat, dan perlawanan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang insiden dan keraguan.
Penutup
Tiga kejadian di atas adalah antara kejadian yang melibatkan kecederaan pengadil perlawanan di luar negara. Kecederaan pengadil adalah perkara biasa kerana mereka bukan robot. Seperti juga pemain yang beraksi di atas padang, mereka juga berhadapan dengan risiko kecederaan.
Namun demikian, ianya adalah tanggungjawab badan penganjur untuk memastikan tiada sebarang keraguan terhadap proses pengadilan sekiranya kejadian seperti di atas berlaku.