Semalam Menteri Besar Perak, merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pihaknya tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk tiket perlawanan Liga Super di antara Perak menentang Kedah malam esok.
Malah Presiden PAFA itu menjemput semua penyokong skuad The Bos Gaurus untuk memenuhi Stadium Perak dalam memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Mehmet Durakovic itu.
PENGUMUMAN KHAS!
Dengarkan pengumuman khas oleh Presiden PAFA, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu @pejaofperak menjelang aksi Liga Super Malaysia esok, menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh.
Maklumat lanjut akan diberikan selepas ini.#KejorrYobKejorr#KejorrYobSkorr pic.twitter.com/wjyC2faiGU
— Perak The Bos Gaurus (@peraktbgmy) February 7, 2019
Kenyataan rasmi daripada Perak FA selepas itu berkata, setiap penyokong hanya boleh mendapatkan 3 keping tiket seorang dan agihan tiket akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengahari (sesi 1) dan 3 petang hingga habis (sesi 2).
Tidak lupakan lawan
Tidak mahu melupakan lawan, PAFA turut memperuntukkan sebanyak 1,500 tiket khas untuk penyokong Kedah yang ingin berkunjung ke Ipoh untuk menyaksikan perlawanan itu.
Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang mengucapkan terima kasih kepada PAFA atas keprihatinan itu.
Dalam satu kenyataan di laman media sosial, KFA dipetik sebagai berkata: “KFA telah bersetuju untuk menyerahkan kaedah agihan tiket ini diserahkan kepada wakil Gabungan Kelab Penyokong Kedah iaitu En. Mohd Azmi Abdullah dari Kelab Red Eagle Frenz Kedah.
“Peruntukan tiket ini akan diberi keutamaan kepada Ahli Gabungan Kelab Penyokong Kedah dan lebihan dari tiket tersebut akan diagihkan kepada penyokong hijaukuning yang bukan dari kalangan ahli gabungan kelab penyokong hanya melalui En. Mohd Azmi Abdullah.”
Butiran agihan bagi penyokong yang bukan ahli gabungan kelab penyokong adalah seperti yang tertera di media sosial, seperti yang dikongsikan di atas.
Perak tewas 0-1 kepada JDT di Larkin pada minggu lalu, manakala Kedah mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas PKNP FC, untuk permulaan cemerlang skuad Lang Merah di bawah kendalian jurulatih, Aidil Sharin.