Masa semakin suntuk, ketua jurulatih skuad bawah 23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee perlu segera mencari pengganti pemain pertahanan kanan, Syahmi Safari bagi menghadapi kejohanan Piala AFF B-22 yang akan bermula pada minggu hadapan.
Pengendali Selangor, B. Satiananthan kelmarin mengesahkan pihaknya tidak akan melepaskan pemain yang berusia 20 tahun itu kerana khidmatnya amat diperlukan ketika saingan Liga Super sedang berlangsung.
Skuad Gergasi Merah bakal menempuhi dua perlawanan penting menentang PKNS FC dan Pahang minggu hadapan dan kehilangan Syahmi mampu memberi kesan kepada skuad itu.
Ketiadaan Syahmi bermakna 25 pemain akan melaporkan diri untuk kem latihan pusat di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula Ahad ini (10 Februari).
Kim Swee mengakui kecewa, namun dia yakin dengan kemampuan 25 pemain yang telah dipanggil kali ini.Selepas berlatih selama beberapa hari, 23 pemain akhir bakal dipilih Kim Swee untuk terbang ke Phnom Penh pada 15 Februari bagi menghadapi perlawanan sebenar.
“Ketiadaan Syahmi sudah tentu akan memberi impak tetapi ia memberikan peluang kepada saya untuk menilai baki pemain yang masih bersama pasukan,” kata Kim Swee dalam stadium astro.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari diikuti Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).
Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir pada 24 Februari dan aksi final pula dijadual pada 26 Februari 2019. Semua perlawanan di Stadium Nasional, Phnom Penh.
Sebelum berangkat ke Kemboja, Kim Swee mahu mengaturkan satu perlawanan pemanas badan untuk memastikan pemainnya benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan sebenar.
“Saya akan berusaha mendapatkan satu lagi perlawanan sebelum berlepas ke Phom Penh tetapi saya menyedari kesukaran untuk membariskan pemain ketika saingan Liga Malaysia sudah bermula,” katanya lagi.