The FA telah meminta penjelasan bertulis dari Jurgen Klopp berikutan komen dari pengurus itu mengenai pengadil perlawanan, Kevin Friend selepas Liverpool hanya sekadar seri 1-1 menentang West Ham Selasa lalu.
Sadio Mane telah memberikan pendahuluan kepada Liverpool dalam perlawanan tersebut. Namun jaringan tersebut dibayangi oleh insiden James Milner yang terlebih dahulu berada di dalam kedudukan offside sebelum melakukan bantuan gol yang disempurnakan Mane.
Michail Antonio kemudiannya menyamakan kedudukan untuk West Ham untuk mengikat perlawanan tersebut- setelah menerima hantaran bijak dari Felipe Anderson dari sepakan percuma pendek dari luar kotak penalti.
Klopp kemudiannya dilihat bertengkar dengan Manuel Pellegrini selepas tamat perlawanan, sebelum masuk ke padang untuk meluahkan rasa tidak puash hati beliau kepada pengadil.
Salahkan pengadil
Pengurus Liverpool itu kemudiannya menggunakan sidang media selepas perlawanan untuk mempersoalkan keputusan pengadil ketika dalam perlawanan.
Bercakap kepada Sky Sports, Klopp dipetik sebagai berkata: “Kami melalui tempoh yang baik di perlawanan ini, dan menjaringkan gol, sebelum dimaklumkan ia sebenarnya adalah offside. Ini menjelaskan sedikit kepada apa yang berlaku pada babak kedua perlawanan, dan saya berpendapat pengadil sedar mengenai kesilapan [offside] itu, selepas tamat babak pertama.
“Selepas pengadil sedar akan perkara [kesilapan] tersebut, anda boleh melihat beberapa situasi [keputusan] pelik dilakukan. Ia keputusan yang tidak memberikan impak tinggi, tetapi tetap menganggu rentak perlawanan. Dan perkara sebegini tidak membantu kami langsung.
“Logiknya sebagai manusia, apabila anda sudah sedar telah melakukan kesilapan besar di babak pertama, anda pasti tidak mahu membuka ruang [impak kesilapan] yang lebih besar selepas itu.”
Keputusan seri semalam bermakna Liverpool hanya dipisahkan oleh tiga mata dengan Manchester City yang berada di tangga kedua liga. Skuad bimbingan Pep Guardiola akan memintas Liverpool pada awal pagi nanti jika menang ke atas Everton.