Selepas lapan tahun berkhidmat dengan skuad kebangsaan Iran, jurulatih dari portugal, Carlos Queiroz akhirnya letak jawatan selepas skuad kendaliannya disingkirkan Jepun dalam perlawanan separuh akhir Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.
Iran tewas 0-3 kepada Jepun selepas Yuya Osako menjaringkan dua gol kontroversi sebelum Genki Haraguchi melengkapkan keputusan itu pada lewat permainan.
Skuad Samurai Biru itu kini di landasan tepat untuk memburu kejuaraan kelima mereka dalam kejohanan tertinggi Asia berkenaan.
https://twitter.com/DugoutAsia/status/1090082896965062657
Queiroz, yang pernah mengendalikan Real Madrid, Portugal, UAE dan dua kali dilantik penolong pengurus Manchester United, berjaya membawa Iran menyertai dua edisi Piala Dunia.
Bagaimanapun, dia berasakan telah sampai waktu yang tepat untuknya meninggalkan negara berkenaan dan menjadi jurulatih berprofil tinggi yang seterusnya melakukan perkara itu dalam kejohanan edisi ini selepas Marcello Lippi turut meninggalkan China ekoran disingkirkan Iran dalam suku akhir.
Queiroz mengalunkan lagu My Way dendangan Frank Sinatra sebagai petunjuk kepada pemergiannya sambil berkata kepada wartawan: “Secara jujurnya, saya telah meluahkan semua pandangan saya sebelum ini.
“Saya perkatakan apa yang perlu dilakukan.
“Saya tahu ramai yang mahu mendengarnya daripada mulut saya, namun ia bukan masa yang sesuai untuk mendengarnya daripada saya.
“Saya gembira kerana diberikan peluang untuk melalui pengembaraan bersama pemain-pemain Iran.
“Ia semenangnya pengembaraan yang hebat.
“Hakikatnya, pemain saya sepatutnya layak untuk beraksi dalam final berdasarkan apa yang telah mereka lakukan.
“Cara paling mudah untuk menyampaikannya adalah dengan mengingatkan anda semua dengan lagu popular ini: Ia di sini. Saya sangat gembira dan berbangga dengan pasukan saya. Saya pergi dengan cara saya.
“Sudah tiba masanya untuk mengumumkan penghargaan saya kepada bola sepak Iran dan peminat mereka kerana memberikan peluang untuk menjadi pengurus pasukan ini selama lapan tahun.
“Saya mendoakan yang terbaik buat pasukan ini.
“Pemain saya layak untuk memperoleh yang terbaik,” katanya.
Queiroz diserang dengan dakwaan bahawa dia telah melakukan percaturan yang salah ketika bertemu Jepun dengan Iran tidak pernah dibolosi menjelang perlawanan itu.
“Selama lapan tahun ini, saya telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang terjadi di lapangan.
“Saya ingin bertanya kepada anda (media) tentang peranan anda pada tahun-tahun tersebut.
“Peranan anda hanyalah senyap.
“Saya di sini berjuang untuk pasukan kebangsaan anda,” ujarnya.