“Kami perlu menjalani latihan di padang Stadium Shah Alam. Namun, sehingga kini, kami tidak dapat melakukannya. Ia mungkin berlarutan sehingga liga bermula nanti.”
Itulah luahan pengendali pasukan Selangor, B. Satiananthan dalam Stadium Astro apabila beliau melahirkan kebimbangan mengenai pasukannya yang masih belum diberikan kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam walaupun saingan Liga Super akan bermula dalam beberapa hari lagi.
Selangor dijadualkan menentang Felda United dalam perlawanan pertama Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam pada 3 Februari ini.
Kegagalan proses itu siap mengikut jadual yang ditetapkan bakal mengundang padah buat pasukannya kerana pemain Selangor memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di atas padang stadium tersebut.
“Berdasarkan pengetahuan saya, sejak beberapan tahun lalu, perlawanan pertama Selangor akan ditunda atau dijalankan di laman lawan.
“Saya tidak faham mengapa kerja penyelenggaraan perlu dijalankan pada waktu-waktu akhir. Ia bukan alasan yang dapat diterima,” katanya.
Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menjelaskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mencuba untuk menyediakan Stadium Shah Alam selewat-lewatnya Jumaat depan.
“Seboleh-bolehnya kami mahu menggunakan stadium itu sebelum perlawanan pertama liga.
“Kami sedang berusaha dan sedar kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Selangor juga menyokong sepenuhnya hasrat pengendali Liga Malaysia (Malaysia Football League) mengikut cara La Liga untuk melaksanakan sistem kawalan ekonomi bagi membendung masalah hutang pasukan di sini.
Selangor juga sudah mewujudkan inisiatif dengan berbelanja berdasarkan bajet tahunan dan tidak tunduk kepada harga pemain yang melebihi kantung pasukan itu bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kancah hutang dan tunggakan gaji pemain.
“Kami perlu bertindak tegas kerana menyedari jika kami terlalu mengikut kehendak pemain, ia mungkin akan menjejaskan pasukan dan merosakkan tangga gaji mereka,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.