Marco Silva Naik Angin, Pengadil Tak Guna Sistem VAR Ketika Perlawanan FA Cup

Pengurus Everton, Marco Silva jelas berasa berang dengan tindakan pengadil kerana tidak menggunakan sistem Video Assistant Referee (VAR).

Menurut laman BBC Sport, Silva memanjangkan kemarahan beliau itu kepada pihak England FA yang melaksanakan peraturan yang tidak dikuasakan dengan menyeluruh ketika melangsungkan FA Cup.

Bermula musim ini, sistem VAR digunakan dalam kejohanan FA Cup namun begitu ianya hanya dipakai sekiranya pasukan dari Premier League menjadi tuan rumah kepada perlawanan itu.

Pada Silva, ianya jelas tidak adil kerana ianya memberikan kelebihan kepada pasukan bukan Premier League yang menjadi tuan rumah.

“Anda perlu lakukannya untuk semua perlawanan. Anda perlu adil kepada semua.”

“Jika sistem VAR ini ada di sesetengah stadium, maka adakan di setiap stadium.”

 

Silva menyalahkan situasi itu selepas pasukannya tumbang di tangan Millwall 3-2 dengan pasukan bawahan itu menjaringkan gol kemenangan pada tendangan terakhir perlawanan.

Ianya terjadi selepas pemain Millwall iaitu Jake Cooper menjaringkan gol penyamaan dengan menggunakan lengan untuk menjadikan jaringan 2-2.

Lebih malang, ulang tayang gol itu ditayangkan di skrin besar stadium dan Silva yang melihat ke arah itu meminta agar sistem VAR digunakan.

Dalam masa yang sama, pengurus Millwall pula meminta agar skrin dimatikan ketika ulang tayang disiarkan kerana itu yang sepatutnya dilakukan.

“Saya sangkakan Marco Silva menjerit-jerit kerana pemain saya ofsaid. Saya tidak tahu pula yang pemain saya menjaringkan gol menggunakan tangan,” kata pengurus Millwall, Neil Harris.

Sistem VAR tidak digunakan kerana Millwall merupakan pasukan tuan rumah untuk perlawanan ini.

Leave a Reply