Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini mengumumkan mereka telah menandatangani kontrak dengan pemain tengah dari Afghanistan, Mustafa Zazai selama setahun bagi mengharungi musim baharu Liga Malaysia.
Pemain yang berusia 26 tahun ini merupakan pemain skuad kebangsaan Afghanistan dan mempunyai 20 penampilan bersama pasukan negaranya serta merekodkan dua jaringan di peringkat antarabangsa.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas beraksi di eropah dengan beberapa kelab Jerman seperti VFB Lubeck, FC St Pauli, TSG Neustrelitz, Luneburger SK Hansa dan serta merupakan produk daripada akademi kelab terkemuka di sana, Hamburger SV.
Kelab terakhirnya sebelum menjejakkan kaki ke Kota Bharu adalah Phrae United (Thailand) yang beraksi dalam saingan liga divisyen 3 Thailad pada musim 2018.
⚪️🔴 WELCOME TO KOTA BHARU, ZAZAI🔴⚪️
—-
Persatuan Bolasepak Kelantan menandatangani kontrak pemain kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai selama setahun bersama pasukan Kelantan FA bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019. pic.twitter.com/Td3093oUWC
— TRW Kelantan FC (@trwkelantanfc) January 23, 2019
Menurut sumber, kehadiran beliau juga menandakan khidmat pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki tidak disambung ekoran prestasi yang kurang memuaskan dalam aksi pra musim.
Kehadiran pemain ini adalah hasil daripada kerjasama KAFA dengan wakil penaja iaitu syarikat minuman susu kultur probiotik, Yakult.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan baru-baru ini berkata beliau akan berjumpa dengan wakil syarikat berkenaan bagi membincangkan mengenai prestasi Suzuki.
“KAFA telah menghantar laporan prestasi pemain tengah kelahiran Jepun itu kepada Yakult untuk diteliti dan diambil tindakan selanjutnya.
“Kami harap mereka (Yakult) dapat mempertimbangkan laporan kami dan membuat keputusan yang menguntungkan semua pihak,” katanya.