Pengendali dari Wales, John Toshack tidak menafikan yang Gareth Bale adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Namun untuk menjadi setaraf bintang Portugal – Cristiano Ronaldo, Toshack menyarankan agar Bale perlu meningkatkan ketahanan tubuhnya dengan mengubah gaya permainannya.
Musim 2018/19 ini, Bale merupakan tonggak utama buat Real Madrid selepas kelab itu kehilangan Ronaldo. Peminat menagih khidmat Bale dengan mengharapkan beliau dapat membantu kelab meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.
Namun, ianya tidak mudah buat Bale apabila dirinya sering berdepan dengan episod kecederaan hingga membuatkannya sering disisihkan dari pasukan.
Ubah gaya bermain
Melihat situasi tersebut, Toshack yang pernah menjadi pengurus Real Madrid sekitar tahun 90an berpendapat yang Bale seharusnya mengubah gaya permainannya jika mahu mengelak dari terlibat dengan sebarang insiden kecederaan.
Bale disarankan untuk bertindak lebih sebagai penjaring gol bukan penyumbang untuk bantuan gol.
Seperti yang dilakukan Ronaldo sebelum ini, Bale seharusnya mengurangkan kawalan bola (dribble) kerana ia amat berisiko untuk dirinya menerima terjahan dari pihak lawan.
“Tidak perlu diragukan lagi, Gareth (Bale) boleh menjadi salah satu pemain terbaik sepanjang zaman.”
“Jika anda melihat apa yang telah dia perolehi dan anda berfikir tentang apa yang dia boleh perolehi jika dia tidak terlibat dari sebarang insiden kecederaan.”
“Sudah tentu dengan pengalamannya, mungkin dia dapat mengurangkan sedikit gaya permainannya, dan sudah tentu tidak banyak yang akan dapat membaca permainan.”
Sering cedera
Toshack percaya faktor kecederaan adalah punca utama kemerosotan Bale pada ketika ini. Beliau berharap Bale sedar dengan situasi tersebut dan perlu melakukan perubahan seperti apa yang dikatakannya.
“Semoga dia dapat memberikan prestasi yang lebih baik dari sekarang.”
“Apabila anda menghadapi banyak kecederaan, anda perlu memulakannnya semula dari sudut fizikal, anda perlu mendapatkannya (kecergasan) sekali lagi.”
“Dan jika dia terpaksa menjalani kecederaan dua atau tiga kali dalam satu musim, itu situasi yang sangat sukar, itulah sebabnya saya memuji persembahannya pada masa ini.”