Bekas pemain tengah Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior sah menjadi milik pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Premier 2019.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan, pemain kelahiran Brazil itu akan beraksi bersama pasukan itu untuk tempoh satu musim berganding dengan pemain muda, Nik Mohd Akif Syahiran.
“Menariknya, pemain ini mampu bertindak sebagai pemain tengah dan penyerang selain sudah masak dengan kancah Liga Malaysia.
“Justeru, kita sememangnya menagih pengalaman yang ada pada Flavio untuk membimbing pemain muda Kelantan musim ini,” katanya dalam utusan Malaysia.
Dengan kehadiran Flavio, Kelantan kini sudah mempunyai tiga pemain import termasuk pemain dari Jepun iaitu Yuta Suzuki dan Cassio De Jesus yang merupakan tonggak musim lalu.
Profil pemain
Flávio Beck Júnior dilahirkan di Augusto Pestana, Brazil pada 14 Mac 1987. Sepertimana anak muda di Brazil yang lain, karier bola sepak Flávio bermula di salah sebuah akademi bola sepak di Brazil bersama kelab Gremio.
Gremio adalah sebuah kelab bola sepak di saingan Campeonato Brasileiro Série A dan pernah menghasilkan pemain-pemain terhebat dunia seperti Ronaldinho, Gilberto Silva, Anderson, Douglas Costa dan juga Maicon.
Pada usia 17 tahun, Flávio turut pernah tampil dalam beberapa kejohanan bersama skuad Brazil B-17 tahun.
Tamat tempoh menuntut ilmu di Gremio, Flávio mulai memburu impian sebagai pemain bola sepak profesional di Eropah bersama NL Solon di Liga Croatia.
Pada usia 19 tahun, Flávio telah membuat sejumlah 30 penampilan dan menjaringkan 6 gol sepanjang dua musim bersama Solin sebelum berhijrah ke beberapa buah kelab di sekitar eropah, termasuk ke Jerman, Albania, Montenegro dan Slovenia.
Flávio turut pernah beraksi bersama juara Slovenia, NK Maribor pada 2010, tampil di dalam 14 perlawanan kompetitif sebelum berhijrah ke Iran bersama Bargh Shiraz Football Club untuk pengalaman pertama beraksi di Asia.