Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata mereka tidak kisah jika Liridon Krasniqi memilih untuk menyertai pasukan lain – dan bukannya juara Piala FA musim lalu itu menjelang bermulanya saingan Liga Malaysia 2019.
Sebelum ini khabar angin bertiup kencang bahawa bekas pemain tengah Kedah dari Serbia itu akan menyertai skuad kendalian Dollah Salleh selepas dilepaskan oleh pasukan dari utara semenanjung tersebut, berikutan kontrak beliau tidak diperbaharui untuk musim yang akan datang.
Liridon bayangkan sertai Pahang
Sebelum ini Liridon memberi bayangan akan kembali ke Liga Malaysia selepas berehat panjang di negaranya.
Pahang adalah destinasi pilihan selepas beliau beliau sendiri memberi bayangan melalui perkongsian di laman Instagram – dengan memuat naik gambar seekor gajah.
Pemain tersebut turut berkongsi dirinya berada di dalam penerbangan Malaysia Airlines untuk kembali ke Malysia – namun tidak mendedahkan destinasi beliau.
Liridon ubah arah?
Namun semalam perkongsian IG Story oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) telah memberi bayangan pemain tersebut bakal menyertai skuad Harimau Selatan pada musim ini.
Namun demikian, selepas skuad utama JDT yang beraksi di saingan Liga Super Malaysia (MSL) sudah mengumumkan senarai lengkap pemain import, Liridon dijangka akan membarisi skuad simpanan, JDT II jika meneruskan hasrat untuk bersama kem Harimau Selatan pada musim akan datang.
Pahang FA tidak kecewa
Mengulas perkara tersebut Pahang FA melalui pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata mereka menghormati keputusan Liridon memilih pasukan lain.
“Dalam hal ini, Liridon bukan mungkir janji namun jika dia memilih pasukan lain, apa kan daya itu keputusannya. Dia sebagai pemain profesional berhak untuk memilih pasukan lain,” ujar Suffian kepada Sukan Sinar pada hari ini.
“Jika dia secara rasmi menyertai pasukan lain seperti mana jurulatih Dollah Salleh katakan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDTII), mungkin peminat tidak menaruh harapan yang tinggi kepadanya dan mendoakan supaya dia berjaya di kelab baharu.
“Kami di Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memang tidak boleh berbuat apa-apa. Itu adalah pilihannya walaupun ada pihak menampakkan ia sebagai satu keputusan tidak adil, terutamanya kepada peminat yang telah melihat statusnya seolah-olah akan datang ke bumi Pahang.
“Selamat maju jaya kepada Liridon bersama kelab baru nanti,” ujar Suffian lagi secara panjang lebar.
Terbaru
Terkini, IG Story milik Liridon memaparkan pemain tersebut menjalani latihan di gimnasium -namun tidak boleh dipastikan lokasi sebenar pemain tersebut pada masa ini.
Pahang FA turut dikatakan sudah menyiapkan segala dokumen berkaitan kontrak untuk pemain tersebut – seperti yang tersebar di aplikasi Whats App – namun tidak terkilan dengan keputusan akhir pemain tersebut.