Bukan ‘kerja’ mudah bagi mereka yang dilantik untuk memikul tugas sebagai pengurus sementara kelab yang sedang berdepan pelbagai masalah sehingga menjejaskan prestasi para pemain.
Apatah lagi menggalas tugas di kelab yang memiliki nama yang cukup besar dan terkenal di dunia sebagai contoh kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sejarah bola sepak Inggeris pernah membuktikan yang pelantikan sementara beberapa nama pengurus telah berjaya membantu pasukan meraih pencapaian yang hebat dan diluar jangkaan peminat. Namun, ada juga mereka yang gagal.
Berikut merupakan 5 pengurus sementara yang berjaya di EPL:
1. Guus Hiddink (Chelsea)
Siapa yang tidak mengenali Guus Hiddink. Seorang pengurus dari Belanda yang berjaya mengubah senario bola sepak Chelsea.
Beliau pernah bertugas sebagai pengurus sementara di Chelsea pada dua waktu yang berbeza dan kedua-duanya memperolehi keputusan yang cukup positif.
Hiddink terlebih dahulu mengendalikan The Blues pada musim 2008/09. Beliau menggantikan tempat Luis Felipe Scolari yang dipecat pada Februari 2009 selepas Chelsea berada di kedudukan ke-4 dalam EPL.
Pelantikan Hiddink berjaya membuahkan hasil apabila Chelsea memenangi 11 dari 13 perlawanan EPL dan mengakhiri liga ditempat ke-3. Tidak hanya itu, Chelsea juga berjaya meraih kejuaraan Piala FA.
Tugas kedua Hiddink di Stamford Bridge hampir sama dengan situasi yang dihadapi Solskjaer di Manchester United.
Hiddink perlu menyelesaikan pemasalahan yang ditinggalkan Jose Mourinho setelah dipecat pada Disember 2015.
Beliau mengambil alih Chelsea yang sedang berada dikedudukan ke-16 liga.
Walaupun gagal menghadiahkan sebarang trofi kejuaraan, Hiddink berupaya membawa Chelsea mengharungi 12 perlawanan tanpa sebarang kekalahan dan berjaya menaikan kedudukan pasukan ke tempat ke-10 liga.
2. Kenny Dalglish (Liverpool)
Dalglish dilantik menjadi pengurus sementara Liverpool selepas Roy Hodgson dipecat pada Januari 2011.
Kekalahan demi kekalahan yang diterima Liverpool membuatkan pasukan itu jatuh di posisi ke-12 EPL dan Dalglish diberi tugas berat untuk menyelesaikan hal tersebut.
Sejak The Reds diambil alih oleh Dalglish, pasukan itu kembali ke prestasi sebenar dengan hanya mencatatkan 4 kekalahan dari 10 perlawanan terakhir.
Liverpool akhirnya berjaya mengakhiri saingan di tempat keenam dan prestasi Liverpool dinilai lebih baik berbanding ketika di era Hodgson.
Diatas kejayaan Daglish, pihak Liverpool telah melantik beliau sebagai pengurus tetap di Anfield pada musim panas 2011.
Beliau telah membawa The Reds mengakhiri kemarau 5 tahun dengan memenangi Piala EFL – kali terakhir dimenangi 2006.
Bagaimanapun, beliau akhirnya dipecat pada 2012 selepas menamatkan kejuaraan ditempat ke-8 EPL.
3. Craig Shakespeare (Leicester City)
Tidak sampai setahun The Foxes berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris 2015/16, Claudio Ranieri akhirnya disingkirkan untuk terus kekal mengemudi kelab itu bagi musim berikutnya.
Leicester City ketika itu hanya satu mata di atas zon penyingkiran dengan berbaki 13 aksi perlawanan.
Prestasi hambar Leicester dikaitkan berpunca daripada pemain yang menganggap percaturan Ranieri sudah terlalu lapuk.
Bagi mengatasi masalah ini, pihak tertinggi kelab telah melantik penolong pengurus, Craig Shakespeare sebagai pengurus sementara.
Ternyata pelantikan Shakespeare memberi impak yang positif buat Leicester dengan menyaksikan kelab itu mengakhiri saingan liga di tempat ke-12.
Pencapaian hebat yang dilakukan Shakespeare membuatnya beliau dilanjutkan kontrak tetap untuk tempoh selama tiga tahun.
Malangnya, Shakespeare gagal mengulangi pencapaiannya di musim berikutnya dan beliau telah dipecat dan digantikan dengan pembantunya Michael Appleton sebelum Claude Puel dinamakan sebagai pengurus tetap.
4. Roberto Di Matteo (Chelsea)
Kejayaan membawa Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab itu sudah cukup membuatkan nama Roberto Di Matteo akan terus dikenang oleh jutaan pengikut setia The Blues sehingga hari ini.
Bukan itu sahaja, Di Matteo juga berjaya membantu Chelsea menjuarai Piala FA pada tahun yang sama.
Beliau mengambil alih tugas Andre Villas-Boas selepas pengurus dari Portugal itu dipecat kerana gagal bersaing dalam perebutan gelaran EPL.
Namun, kedudukan Di Matteo di Stamford Bridge tidak mampu bertahan lama. Beliau menjadi pengurus ke-9 yang dipecat dibawah era pemilik jutawan dari Rusia, Roman Abrahamovic.
Dalam tempoh tujuh bulan Di Matteo berkhidmat sebagai pengurus sementara, kelab itu berjaya merekodkan 24 kemenangan, 9 seri dan 9 kekalahan dalam 42 perlawanan.
5. Glenn Roeder (Newcastle United)
Newcastle United tampil mengecewakan pada musim 2005/06 meskipun kelab itu diperkuatkan dengan kehadiran dua penyerang terbaik England, Michael Owen dan Alan Shearer.
Pengurus pasukan, Graeme Souness terpaksa melepaskan jawatannya dan kemudian digantikan dengan pengurus sementara, Glenn Roeder.
Ketika Roeder mengambil alih, Newcastle berada di zon penyingkiran. Namun, kehadiran Roeder memberikan impak yang positif selepas pasukan meraih 10 kemenangan dan hanya mengalami tiga kekalahan dari 15 perlawanan.
Bekas pengendali Watford dan West Ham United ini telah berjaya membawa The Magpies menduduki tempat ke-7 liga dan secara automatik melayakkan diri ke slot Piala Intertoto.
Kemudian, Roeder telah ditawarkan kontrak sebagai pengurus tetap pasukan. Namun begitu, beliau telah dipecat pada musim berikutnya.