Prebiu Separuh Akhir Pertama Malaysia Vs Vietnam

Dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996 dan kemudiannya Piala Suzuki pada tahun 2008, Piala AFF telah menjadi pentas penting bagi negara-negara di Asia Tenggara membuktikan siapakah raja bolasepak di rantau ini. Rekod membuktikan hanya Singapura dan Thailand sahaja yang berjaya menjadi juara sebanyak 4 kali dan 3 kali masing-masing. Namun bagi edisi kali ini, Thailand berpeluang menyamakan pencapaian Singapura itu memandangkan tuan rumah 2014 ini telahpun tersingkir di peringkat kumpulan.

 

Bagi pasukan Harimau Malaya (HM) pula, sudah pasti bayangan 2010 menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula pasukan yang pernah menjadi jaguh rantau Asia suatu masa dahulu.Rekod HM di pentas Piala AFF tidak pernah mengecewakan kerana hanya 2 kali sahaja HM gagal melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir iaitu pada edisi 1998 dan 2008.Namun begitu ramai yang menggambarkan kebimbangan selepas HM gagal mencatatkan kemenangan dalam 2 aksi pertama peringkat kumpulan dan memerlukan penalti serta gol ajaib di minit-minit akhir perlawanan ketika menentang Singapura pada perlawanan terakhir di peringkat kumpulan bagi melayakkan ke peringkat Separuh Akhir.

vietnam_malaysia

kredit :vietnamfootballfans

 

Dari kacamata peminat dan penyokong HM seharusnya kemenangan menjadi kayu ukur terakhir kepada pencapaian sesebuah pasukan tetapi sekiranya projektori dialihkan kepada skop pandangan jurulatih dan penggiat sukan bolasepak amnya, kayu ukur kemajuan sesebuah pasukan tidak hanya terletak pada faktor menang-kalah sahaja.

Faktor menduduki tangga kedua kumpulan bukan petanda bahawa kita tidak akan layak ke perlawanan akhir.

Rekod menunjukkan 4 pasukan yang pernah menjuarai Piala AFF adalah berstatus Naib Juara Kumpulan termasuk HM pada tahun 2010.

Selain daripada itu juga, faktor venue perlawanan juga memainkan peranan penting kerana pasukan Vietnam hanya beraksi di padang sendiri sahaja pada 3 perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini. Oleh itu, pasukan HM harus menggunakan peluang ini bagi mendapatkan bekalan yang sewajarnya sebelum bertandang ke Vietnam 3 hari kemudian.

Rekod Pertemuan

Dilihat kepada rekod pertemuan antara Malaysia dan Vietnam pada kejohanan Piala AFF ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak 7 kali dan Vietnam memiliki kelebihan dengan mencatatkan 3 kemenangan ke atas HM manakala 2 perlawanan berakhir dengan seri dan selebihnya dimenangi HM. Kali terakhir kedua-dua pasukan beraksi di Malaysia, ialah pada edisi 2010 di mana HM menang 2-0 namun harus diingat HM tidak pernah mencatatkan kemenangan di Hanoi termasuk dalam perlawanan persahabatan pemanas badan bulan lepas, dimana Vietnam membenam HM 3-1 disebalik penguasaan perlawanan yang dimiliki HM.

 

Oleh itu perlawanan pusingan pertama Separuh Akhir ini begitu penting buat HM samada membawa bekal yang selesa ataupun menanggung beban di bumi Vietnam.

Jika dilihat pada barisan pemain kedua-dua pasukan, barisan pemain HM mempunyai pengalaman bukan sahaja di pentas piala AFF tetapi juga dipentas antarabangsa dengan barisan seperti Safiq Rahim, Khairul Fahmi, Mat Yo, Safee Sali, Fadhli Shas dan Azamudin Akil. Ternyata kemampuan pengendali Dollah Salleh menggarap barisan pemain HM daripada sebuah pasukan yang bermain secara ‘defensive’ kepada pasukan yang berani bermain secara ‘offensive’ menjadi resepi tunggal kejayaan HM melayakkan diri ke peringkat ini disebalik ranjau kekalahan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

 

Cabaran Dollah Salleh

Bagi kem Malaysia, 2 masalah besar bermain di minda Dollah Salleh, konsistensi persembahan pemain serta siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Shukor Adan dan Mohd Amri Yahyah setelah digantung satu permainan kerana menerima 2 kad kuning dalam aksi peringkat kumpulan. Antara nama yang bakal disebut-sebut sebagai pengganti adalah Baddrol Bakhtiar dan Indra Putra Mahyuddin namun faktor kecergasan menjadi faktor utama selain daripada faktor pengalaman bagi Dollah Salleh bagi mengisi kekosongan tersebut.

Strategi Toshiya Miura (Jurulatih Vietnam)

Bagi pasukan Vietnam pula, mereka lebih terdahulu menjadi juara pada edisi 2008 dan sebagai pasukan tuan rumah bersama pada edisi kali ini seharusnya mereka menyasarkan untuk menjadi juara kali kedua. Kehadiran jurulatih baru daripada Jepun, Toshiya Miura, 51 pada pertengahan tahun ini telah membawa perubahan kepada corak permainan pasukan Vietnam. Jika dilihat di dalam 3 aksi peringkat kumpulan, Miura meletakkan formasi 4-4-2 pada perlawanan menentang Indonesia namun kekebalan pasukan Indonesia serta kegagalan barisan pertahanan beraksi dengan baik, menyebabkan mereka mencatatkan keputusan seri.

Toshiya+Miura+Asian+Games+Day+7+UvgvvbpgsLPl
kredit : zimbio.com

Miura kemudian membuat rombakan di barisan pertahanan dan barisan pemain tengah serta menyajikan permainan pantas dengan formasi 4-3-3 ketika bertemu Laos berjaya membuahkan hasil dengan kemenangan 3-0. Miura kemudian menukar strategi ketika pertemuan dengan Filipina apabila menjangkakan pasukan lawan bakal memaparkan aksi bertahan bagi mendapatkan keputusan seri untuk menjadi juara kumpulan dan seterusnya mengelak pertemuan dengan Thailand di peringkat Separuh Akhir. Menukar strategi daripada gerakkan pantas di bahagian sayap kepada taktikal rembatan jarak jauh membuahkan hasil apabila dua gol terhasil melalui jaringan jarak jauh.Jika tidak disebabkan 2 jaringan tersebut mereka mungkin akan menjadi naib juara kumpulan dan menghadapi kesukaran berhadapan Thailand di peringkat separuh akhir.

 

Kebijaksanaan Miura mengadaptasi kepantasan permainan seperti pasukan Jepun bakal menjadi penentu ketika aksi menentang HM kelak.

Pemain Vietnam Yang Perlu Diberi Kawalan Khas

Gerakan sayap dan hantaran jauh menerusi kapten mereka iaitu Le Tan Tai (No 14) dan Ngo Hoang Thinh (No 7) pasti akan menjadi senjata utama mereka dan sudah pasti keringat Zubir Ali dan Mahali Jasuli akan ditagih. Antara pemain yang perlu diawasi oleh barisan benteng HM, Mohd Afif Amiruddin, Fadli Sas dan Muslim Ahmad ialah Lè Cong Vinh (No 9) dan Nguyen Anh Duc (No 11) serta Nguyen Van Quyet (No 10). Khairul Fahmi Che Mat pasti akan mengemudi gawang HM dan percubaan jauh serta hantaran terus harus menjadi perhatiannya dan rakan-rakan pertahanan yang lain.

hoangthinh
Ngo Hoang Thinh, midfield tengah berbisa Vietnam kredit : bongdaplus.vn

Pandangan Penulis

Pada pandangan saya, di barisan hadapan pula gandingan Mat Yo dan Safee Sali pasti akan diturunkan sekali lagi memandangkan impak yang mereka berikan ketika aksi menentang Singapura tempoh hari di samping keserasian mereka dengan pengemudi tengah seperti Safiq Rahim dan Azimuddin Akil agak memberangsangkan. Selain itu juga Dollah harus melihat kepada barisan pemain simpanannya yang boleh dimasukkan bagi mengeploitasi permainan andai nasib tidak menyebelahi kita seperti Indra Putra Mahyuddin, Badhri Radzi dan Mohd Hafiz Kamal. Pengalaman dan kematangan yang dimiliki mereka mungkin boleh digunakan Dollah bagi menyusun taktik dan strategi di waktu yang genting.

Akhir sekali, sudah pastinya seluruh negara atau lebih spesifik 29 juta lebih rakyat Malaysia mengharapkan HM layak ke Final dan seterusnya cuba menjulang Piala keramat rantau Asia Tenggara itu buat kali kedua. Rata-rata mereka menjangkakan HM menang pada aksi pertama ini dan menghadapi tentangan sengit pada aksi kedua di Hanoi.

Seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai R3 menjangkakan HM menang 2-1, manakala Mohd Hairi, 31 peminat HM daripada Meru menjangkakan HM menang 3-1. Hairul, 36 peminat HM daripada Taiping pula menjangkakan HM menang besar 4-0 kerana tuah beraksi di padang sendiri. Azizi Haris, 42 juga daripada Meru tetap menjangkakan HM menang dengan jaringan 2-0. Begitulah besarnya harapan rakyat dan peminat bolasepak tanah air ke atas skuad HM dalam edisi Piala AFF kali ini.

Walau apa jua keputusannya nanti diharapkan sokongan akan tetap diberikan kepada HM kerana kesemua pemain HM berusaha sehabis mungkin untuk beraksi demi kemenangan cuma nasib ada kalanya tidak menyebelahi kita. Bagi saya, saya merasakan HM bakal menang besar dengan jaringan 4-1. Salam HM..

Majulah Sukan untuk Negara

Biodata penulis :

Azwan Bin Ab Khalil

Jurulatih Akademi Bolasepak Tunas Lagenda

Cawangan Klang

10846103_10204556123257143_7804300962313880126_n

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN