Meskipun belum tewas dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Mohd Yusoff Mahadi belum berpuas hati dengan prestasi pasukan Melaka United yang dilihat masih longgar.
Justeru itu, beliau mahu pengendali baharu pasukan itu, Zainal Abidin Hassan segera memperbaiki segala kelemahan itu sebelum saingan Liga Super bermula pada awal bulan Februari ini.
“Tugas jurulatih pasukan adalah membentuk sebuah pasukan yang mantap, ibarat MU telah mempunyai bahan mentah untuk dimasak, sekarang terpulang kepada Zainal sebagai tukang masak untuk mengguna sebaik mungkin bahan yang kami sediakan.
“Kami tidak mahu hanya mempunyai bahan yang baik tetapi tidak dimasak dengan baik oleh tukang masak,” katanya dalam Stadium Astro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan pra-musim di antara Melaka United dan Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, kelmarin.
Dalam aksi itu, MU mengalahkan pasukan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan pemain import, Luka Milunovis, pada minit ke-14 dan sepakan penalti Safiq Rahim pada minit ke-50.
Beliau berkata MUSA bercadang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya empat lagi perlawanan persahabatan sebelum bermula saingan Liga Super nanti.
“Kami merancang untuk membawa pasukan MU ke Vietnam seperti yang disyorkan oleh jurulatih, namun ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Presiden MUSA, Adly Zahari,” katanya.
Zainal Abidin akui Melaka United masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki
Sementara itu, Zainal berkata beliau telah mengenalpasti beberapa kelemahan dalam pasukannya dan pada masa yang sama memuji peningkatan prestasi para pemainnya.
“Apa yang penting adalah pemain menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit dan itu yang saya mahukan,” katanya.
Mengenai pemain import, beliau berkata kesemua pemain import yang dijemput hanya dapat diuji dalam satu lagi perlawanan persahabatan bersama sebuah pasukan kelab dari Singapura, Rabu nanti.
“Bagi pemilihan pemain import, kami akan teliti dalam pelbagai aspek dan buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.