Tewas mengejut 1-4 kepada India telah mengakibatkan ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac kehilangan jawatannya apabila dipecat beberapa jam selepas kekalahan tersebut.
Thailand tumbang kepada naib johan Kejohanan SAF Suzuki 2018 itu dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan A, Piala Asia 2019 di Stadium Al-Nahyan, Abu Dhabi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi babak pertama sebelum India bangkit meledak tiga gol menerusi jaringan Sunil Chhetri, Anirudh Thapa dan Jeje Lalpekhlua.
Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Somyot Poompanmuang mengesahkan pemecatan tersebut melalui kenyataan yang didapati daripada Football Tribe Thailand.
Menurutnya, FAT terpaksa mengambil tindakan segera dan seterusnya menyerahkan tugas untuk mengendalikan pasukan kepada pembantu Rajevac, Sirisak Yodyardthai.
Turut dinyatakan, selain dipecat atas sebab kekalahan itu, Rajevac turut dipertanggungjawabkan atas aksi Gajah Perang yang tidak mencapai tahap sepatutnya.
Kedudukannya mula tergugat selepas Thailand tumbang kepada Malaysia, yang tidak layak ke Piala Asia, di peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu.
Di Piala AFF, Thailand disingkir Malaysia dengan kelebihan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
“Ketika ini, kita sedang beraksi di kejohanan terbesar di Asia. Telah lama kita nantikan saat-saat ini dan FAT sentiasa menyokong sepenuhnya persediaan pasukan kebangsaan untuk mencapai potensi tertinggi sebelum pertandingan dengan hasrat mahu melihat keputusan yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Namun keputusan (menentang India) adalah tidak seperti yang diharapkan daripada pasukan kebangsaan Thailand dan juga tidak layak untuk penyokong rasai,” tulisnya.
“Sepertimana semua penyokong di seluruh negara, saya juga merasa kecewa dengan keputusan itu. Sebagai Presiden saya tidak boleh berdiam diri dengan masalah ini.
“Oleh itu, saya ingin mengumumkan penamatan kontrak ketua jurulatih, Milovan Rajevac dan turut mengumumkan Sirisak Yodyardthai untuk mengambil alih tugas-tugas bersama skuad kebangsaan,” tambahnya lagi.
Disebabkan kekalahan mengejut itu, Gajah Perang kini berdepan situasi sukar untuk layak ke peringkat seterusnya dalam penampilan ke-7 mereka di pentas Piala Asia.
Tugasan pertama Yodyardthai adalah menentang Bahrain pada 10 Januari depan dan kemudian menentang tuan rumah, UAE pada 14 Januari dalam aksi terakhir kumpulan.