Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool akhirnya lebur dileburkan Manchester City yang mencatatkan kemenangan 2-1 di Etihad Stadium, sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan tangga teratas itu merupakan aksi yang begitu dinantikan kerana apa sahaja keputusan yang dicatatkan akan memberikan senario yang berbeza terhadap usaha pemburuan carta liga buat kedua-dua pasukan.
Liverpool hampir membuka tirai jaringan pada awal permainan selepas lorongan dari Mohamed Salah kepada Sadio Mane yang melakukan percubaan ke arah gawang Manchester City.
Percubaan tersebut bagaimanapun terkena tiang gol dan pemain pertahanan tuan rumah, John Stones hampir melakukan kesilapan apabila beliau yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyepak bola terkena Ederson Moraes lalu bola hampir masuk ke dalam gawangnya sendiri.
Pemain kebangsaan England itu pantas menyelamatkan bola di atas garisan untuk menyelamatkan keadaan. Goal Decision System juga menunjukkan bola tersebut masih disahkan tidak masuk sepenuhnya ke dalam gol.
Sergio Aguero melonjakkan kegembiraan buat penyokong tuan rumah pada minit ke-40 selepas menerima hantaran dari sebelah kanan pintu gol Liverpool daripada Bernardo Silva.
Gagal dikawal Dejan Lovren, Aguero meledakkan satu rembatan padu dari sudut sukar yang tidak mampu dihalang penjaga gol, Alisson Becker untuk jaringan pembukaan di Etihad Stadium.
Memasuki babak kedua, Liverpool memperkemaskan aksi bagi mencari jaringan penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-64.
Berpunca daripada hantaran jauh Trent Alexander-Arnold yang terus mencari Andy Robertson, kemudiannya mengumpan bola buat Roberto Firmino yang bijak melepasi kawalan Vincent Kompany untuk menanduk masuk bola bagi menyamakan kedudukan.
Namun, kegembiraan tersebut hanya bertahan lapan minit sahaja buat Liverpool selepas Leroy Sane kembali meletakkan Manchester City di hadapan.
Sepakan leret dilepaskan Sane setelah menerima hantaran Raheem Sterling sekali lagi menggembirakan kem Manchester City untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Jaringan tersebut sudah cukup buat skuad bimbingan Pep Guardiola bagi meleburkan rekod tanpa kalah Liverpool sekaligus mengurangkan defisit mata di antara kedua-dua pasukan kepada empat mata.
Liverpool masih lagi di tangga teratas EPL dengan 54 mata manakala Manchester City di tempat kedua dengan 50 mata.