Barcelona menamatkan aksi terakhir saingan La Liga pada tahun 2018 dengan bergaya selepas berjaya menundukkan Celta Vigo 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Nou Camp.
Kemenangan yang dibantu jaringan Ousmane Dembele dan Lionel Messi di babak pertama itu memberikan kelebihan tiga mata buat The Blaugrana bagi meninggalkan pesaing utama, Atletico Madrid di tempat kedua.
Pasukan di tangga ketiga, Sevilla yang ketinggalan enam mata berpeluang untuk mengurangkan defisit kepada tiga mata apabila bakal bertemu Leganes malam ini.
Dembele membuka jaringan pada minit ke-10 selepas melakukan percubaan susulan sekaligus menewaskan penjaga gol, Ruben Blanco yang pada mulanya berjaya menepis rembatan daripada Messi.
Barcelona selepas itu terus garang untuk memburu jaringan dan pasukan pelawat sesekali mencipta gerakan berbahaya ke kubu skuad bimbingan Ernesto Valverde itu.
Lionel Messi yang bijak melepasi kawalan pemain Celta Vigo menerima hantaran menarik daripada Jordi Alba dan seterusnya meluru pantas bagi menewaskan Blanco untuk gol kedua pada lewat aksi separuh masa pertama.
Dua jaringan tersebut sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Barcelona dan kemenangan ke-11 selepas mengharungi 17 perlawanan setakat ini.
Mengulas mengenai kemenangan ini, Ernesto Valverde gembira apabila matlamatnya tercapai.
”Ia merupakan objektif kami untuk menamatkan tahun ini selaku pendahulu La Liga, dengan kelebihan yang sama seperti sebelum perlawanan bermula, jadi kami gembira.”
Valverde turut mengakui bahawa aksi anak buahnya di babak kedua sedikit menunjukkan penurunan sehingga mereka tidak mampu untuk menambah jaringan dan Celta Vigo dilihat lebih menguasai permainan.
”Apa yang lebih memuaskan hati saya adalah kami mendominasi permainan di babak pertama dan mencipta peluang.”
”Sekiranya anda tidak dibolosi sebarang jaringan, ia merupakan cara yang mudah untuk memenangi perlawanan. Tetapi itu bukanlah sasaran kami. Sasaran kami adalah untuk mencipta bahaya (buat pasukan lawan).”