Quantcast

BERITA

Kejayaan Sumareh Buat Lee Tuck Pasang Impian Untuk Sarung Jersi Harimau Malaya

Tonggak tengah Terengganu FC (TFC) Lee Tuck, menyifatkan kehadiran pemain naturalisasi pertama negara seperti Mohamadou Sumareh yang membantu Malaysia muncul sebagai naib juara Piala Suzuki AFF baru-baru ini memberi inspirasi kepadanya untuk menyertai skuad Harimau Malaya.

Pemain yang pernah beraksi dengan pasukan Negeri Sembilan itu mengakui bersedia untuk menukar status kerakyatannya jika beliau mendapat panggilan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Para penyokong sering tanya adakah saya berminat menyertai skuad kebangsaan dan bila saya akan berbuat demikian. Saya dah katakan yang saya sangat berminat untuk menyertainya selain melihat kelibat Sumareh dalam skuad Piala AFF baru-baru ini,” katanya dalam Berita Harian.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan nama beliau berada dalam senarai pemain asing untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh FAM selain dua lagi calon pemain naturalisasi iaitu pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi.

Ia adalah pelan jangka pendek daripada FAM untuk membantu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan sambil menaikkan kedudukan ranking FIFA Malaysia yang kini menghuni dalam kelompok 170 ke atas.

Lee Tuck mengetuai pemain Terengganu FC meraikan kejayaan ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018. FOTO: TFC

Umur sekadar nombor

Lee Tuck turut menepis dakwaan daripada penyokong tempatan yang menganggapnya sebagai ‘kuda tua’ dan tidak mampu beraksi dengan baik pada usia 30 tahun ke atas.

“Ya saya dah berumur 30 tahun dan boleh dikatakan berada di hujung karier oleh sesetengah pemain bola sepak profesional. Tapi ingin saya maklumkan umur hanyalah sekadar nombor, saya masih mampu menyumbang tenaga kepada Harimau Malaya seandainya diberi peluang.

“Malah saya akan rasa teruja dan gembira kerana baharu sahaja merasai musim terbaik terutama bersama TFC. Lamaran FAM ini sudah pasti tidak akan saya tolak kerana percaya saya boleh bantu,” jelasnya.

Berbanding Guilherme dan Liridon, peluang Lee Tuck lebih cerah untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana dia memiliki pertalian darah berikutan neneknya dikatakan berasal dari Malaysia.