Selepas mengukir senyuman mendengar pengkhabaran Jose Mourinho dipecat dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara, para penyokong Manchester United sekali lagi tersenyum puas selepas The Red Devils membelasah Cardiff City 5-1 di Cardiff City Stadium,awal pagi tadi.
Satu permulaan yang cemerlang buat Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan sulungnya membimbing Manchester United.
Hanya tiga minit diperlukan Marcus Rashford bagi membuka pesta jaringan selepas penyerang 21 tahun itu menyempurnakan sepakan percuma yang menyaksikan penjaga gol Cardiff City, Neil Etheridge terpaku di gawangnya.
Ander Herrera menambah jaringan kedua menerusi satu percubaan dari jarak jauh pada minit ke-29 yang gagal diselamatkan penjaga gol antarabangsa Filipina itu.
Usaha Rashford untuk membantu jentera pertahanan memakan diri apabila bola terkena tangan beliau untuk menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah.
Victor Camarasa yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-38 tersebut untuk kembali merapatkan jurang.
Hasil gerakan cantik yang dimulakan Anthony Martial bersama-sama Paul Pogba dan Jesse Lingard, pemain kelahiran Perancis berusia 23 tahun itu menjadikan kedudukan 3-1 ketika aksi babak pertama berbaki empat minit.
Manchester United menambah dua lagi jaringan pada babak kedua dan Lingard bertindak cemerlang untuk menghasilkan kedua-dua jaringan tersebut pada minit ke-57 dan 90.
Dengan kemenangan kelapan dicatatkan selepas 18 perlawanan liga, United mengumpul 29 mata untuk berada di tangga keenam, ketinggalan lapan mata dibelakang Chelsea dan Arsenal.