Beberapa jam selepas Jose Mourinho dipecat, Paul Pogba memuatnaik gambar penuh sinis. Pihak Adidas kemudian mempertahankan pemain tersebut dan menyatakan ianya sebahagian daripada ‘teaser’ untuk kempen terbaru mereka – dan tiada kaitan dengan pemecatan Mourinho.
Adidas kemudian meminta Pogba menurunkan post tersebut selepas ramai yang salah faham dengannya. Mereka menjelaskan post tersebut adalah post berjadual. Namun begitu Gary Neville enggan menerima alasan yang dianggap tidak munasabah itu dan tindakan sampah.
Di Perancis, akhbar L’Equipe mendedahkan bahawa Pogba memang sudah tidak sukakan Mourinho. Pemain itu disisihkan dalam perlawanan menentang seteru mereka Liverpool pada Ahad lalu.
Ketika Ole Gunnar Solskjaer mengendalikan latihan pertama Man. United beliau memberikan fokus kepada Paul Pogba. Ini kerana Solskjaer mahukan Pogba berada dalam kondisi terbaik untuk bermain dalam pasukan Man. United.
Solskjaer juga menyatakan bahawa, pasukan yang beliau kendalikan akan dibentuk berdasarkan Paul Pogba. L’Equipe menganggap tindakan Solskjaer itu membuatkan pengurus muda itu dialu-alukan dalam kem Pogba.
Pogba dikatakan memiliki kem beliau sendiri yang terdiri daripada beberapa pemain Man. United yang menentang Mourinho. Kem ini yang menyatakan bahawa Pogba sudah tidak ada hati bermain untuk Mourinho lagi.
Dalam beberapa siri sindiran – Mourinho pernah menyatakan dalam pasukan beliau ada virus. Mourinho berkata: “Jika kamu tidak mahu bermain, kamu tidak menghormati pemain [rakan sepasukan] dan penyokong.”
“Dan kamu membunuh mentaliti yang baik oleh orang-orang jujur di sekeliling kamu. Kamu seperti manusia yang ada demam, dengan virus di dalam bilik tertutup – kemudiannya kamu sebarkan virus itu kepada orang lain.”
Mourinho juga pernah berkata: “Jika kamu tidak mahu bermain untuk saya, bermainlah untuk pasukan.”
Sebab itulah wartawan Sky Sports – selepas tamat perlawanan di Anfield – bertanya kepada Mourinho; adakah beliau yakin para pemain jujur mahu bermain untuk beliau?
Mourinho ketika itu bengang kerana wartawan cuba mempertikaikan profesionalisme pemain. Ketika itu tiada nama Pogba di dalam senarai pasukan beliau.
Mourinho mungkin menggambarkan pasukan yang ada di Anfield tempoh hari adalah pasukan yang terdiri daripada pemain yang masih bersama dengan beliau.
Mourinho juga pernah secara terangan menuduh Pogba sebagai pemain yang menyusahkan pasukan. Ini kerana Paul Pogba suka membuat sentuhan berlebihan di dalam padang dan membuatkan serangan balas mereka menjadi lambat.
Kem Pogba dilaporkan bosan dengan corak permainan di bawah Mourinho. Pogba menuduh gaya permainan yang diterapkan Mourinho adalah tiada cita-cita (weak ambitions).
Mourinho dikenali dengan corak permainan defensif. Ini yang membuatkan beberapa pemain seringkali disisihkan kerana tidak cukup disiplin ketika bertahan. Seterusnya, Paul Pogba mahukan peranan lebih ofensif di dalam padang.
Ini bukan pertama kali Mourinho ditentang oleh kem pemain yang berstatus bintang.
Pogba juga pernah meluahkan beliau agak menyesal menyertai kembali Manchester United. Ini kerana beliau terpaksa bermain dengan corak taktikal Jose Mourinho.
Kini Pogba pastinya perlu membuktikan kualiti beliau di atas padang selepas pemergian Mourinho. Beliau menjadi nadi penting skuad Perancis ketika Piala Dunia 2018 – di mana mereka menjadi juara. Solskjaer mahukan aksi dan semangat Pogba ketika di Piala Dunia 2018 lalu dibawa ke dalam pasukan Man. United.