Selepas sekian lama menyepi dalam arena bola sepak tempatan, skuad Singa Utara akhirnya kembali mengaum apabila mengumumkan kemasukan bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali sebagai pengempur baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Penyerang berusia 34 tahun itu merupakan seorang lagi nama besar yang memperkuatkan pasukan Perlis selain bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi, Khyril Muhymeen Zambri dan Amiridzwan Taj.
Safee yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Piala AFF 2010 mengakui tidak sabar beraksi di Stadium Utama, Kangar dan tekad kembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak Perlis seperti dahulu
“Saya tidak sabar untuk menantikan Stadium Kangar yang sebelum ini sunyi sepi kembali gamat dengan sorakan penyokong pada musim depan.
“Saya juga ada sasaran peribadi iaitu untuk meledak sekurang kurangnya 10 gol bersama Perlis. Meskipun akan beraksi dalam Liga Perdana tetapi saya optimis dapat menyesuaikan diri,” katanya dalam Berita Harian.
Bagaimanapun, Safee menjelaskan beliau terpaksa berfikir dua kali untuk menerima tawaran daripada pasukan Perlis apatah lagi selepas pasukan itu masih bergelut dengan masalah tunggakan gaji.
Beliau akhirnya menerima tawaran itu selepas melihat kesungguhan pengurusan pasukan itu khususnya visi yang dimiliki oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad.
“Saya faham mengenai situasi Perlis yang berdepan tunggakan gaji yang banyak. Memang saya takut pada mulanya untuk menerima tawaran Perlis.
“Namun, selepas berbincang dan mendengar penjelasan daripada Presiden PFA (Datuk Ahmad Amizal) yang memberi jaminan bahawa pengurusan 2019 jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan pengurusan terdahulu, saya menjadi yakin untuk bekerjasama dengannya.
“Lagipun, beliau masih muda tetapi memiliki visi untuk merancakkan lagi bola sepak Perlis. Jadi, inilah yang membuatkan saya tertarik dengan pasukan Perlis,” katanya dalam majlis memperkenalkannya sebagai pemain baharu semalam.
Perlis FA ada dana yang cukup untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2019
Mengulas lanjut berhubung kedudukan kewangan pasukan itu, Amizal menegaskan mereka mempunyai belanjawan yang mencukupi untuk semua pasukan di bawah pengurusan PFA sehinggalah berakhirnya musim 2019.
“Kita tidak memiliki dana yang besar tetapi saya memberi jaminan pasukan ini akan terus beraksi sehingga penghujung musim 2019. Kita bukan pasukan yang ada bajet selama tiga bulan dan kemudiannya baru mencari dana tambahan.
“Kita cuba menjadikan Perlis sebagai sebuah syarikat, jadi sudah tentu akan ada keuntungan dan kerugian, Apapun, bagi sepanjang musim 2019 juga, kita akan mencari jalan menjana pendapatan supaya sekurang-kurangnya kita mendapatkan kembali modal yang sudah dikeluarkan,” katanya.