JDT Sedang Berunding Dengan Akhyar Rashid, Berikut Kronologi Ringkas Saga Perpindahan Panas Ini

JDT mengesahkan bahawa kelab itu sedang berbincang dengan pihak Akhyar Rashid untuk membawa pemain itu ke Larkin. JDT menyatakan bahawa Akhyar Rashid tidak terikat lagi dengan mana-mana pasukan.

Akhyar sudah menjadi pemain ejen bebas pada 2 minggu yang lalu.

Akhyar Rashid merupakan prospek panas di Malaysia. Beliau merupakan pemain muda yang sudah meletakkan dirinya dalam skuad senior kebangsaan serta dalam pasukan Kedah.

Akhyar juga pemain penting dalam skuad B-23 Malaysia yang mara ke suku akhir (kandas di tangan Korea Selatan) dalam Piala AFC B-23 2018. Akhyar menjaringkan 2 gol dalam kejohanan itu.

SOREANG, INDONESIA – AUGUST 15: Abdul Rashid Muhanmmed Akhyar of Malaysia dribbles in action during the Men’s Football Group E match between Kyrgyzstan and Malaysia at Si Jalak Harupat Stadium ahead of the Asian Games on August 15, 2018 in Soreang, Indonesia. (Photo by Yifan Ding/Getty Images)

Beliau membantu skuad Malaysia mendapat pingat Perak dalam Sukan SEA 2017.

Saga perpindahan Akhyar ke JDT panas

Saga perpindahan Akhyar Rashid adalah yang paling sensasi dalam jendela perpindahan pemain bagi liga Malaysia kali ini. Dan ianya semakin menuju ke penghujung.

Sebelum ini KFA dengan spesifik menamakan JDT sebagai pasukan yang sedang memancing Akhyar Rashid, namun mereka tidak menerima sebarang hitam putih.

KFA dalam sidang media 22 Oktober 2018 – KFA mengesahkan bahawa Akhyar Rashid telah menghantar ‘transfer request’ daripada mereka untuk menyertai pasukan JDT.

Anas Hafiz – Naib Presiden KFA –  ketika itu menegaskan JDT cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang hitam putih.

Beliau berkata: “Akhyar Rashid telah pun dilamar oleh JDT. Tetapi proses masih belum habis lagi sebab kita masih ada perbincangan-perbincangan lebih khusus dengan pihak pemain. Sebelum apa-apa keputusan dimuktamadkan.”

“Akhyar [Rashid] punya rundingan sebenarnya telah dibawa ke FAM. Bukan daripada Pihak KFA [sebaliknya] beliau sendiri yang [mem]bawa hal ini ke FAM.”

“Sebenarnya kita tidak menerima [sebarang] black and white [hitam putih], cuma pemain ada mohon minta dilepaskan. Sebenarnya dia [Akhyar] ada kontrak lagi dengan KFA – lagi setahun. Namun secara rasminya daripada pihak yang nakkan Akhyar masih belum ada lagi [menghantar sebarang hitam putih].”

Kenyataan Anas itu menggambarkan JDT cuba menggunakan pintu belakang untuk memancing Akhyar Rashid.

JDT nafi mahu guna pintu belakang

Pada 24 November 2018, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjawab kenyataan pihak KFA tersebut dan menyifatkan ia tuduhan yang tidak boleh diterima oleh mereka.

Alistair Edwards berkata: “Kami kecewa kerana dituduh cuba mendapatkan Akhyar Rashid tanpa berbincang dengan pengurusan Kedah.”

Seterusnya, Alistair tidak menolak bahawa mereka antara kelab yang mahukan Akhyar Rashid jika pemain itu berpindah. Namun begitu, JDT sudah sedia maklum bahawa pemain itu masih ada baki kontrak di Kedah.

Alistair juga memberitahu bahawa JDT masih belum mengemukakan apa-apa tawaran kepada Akhyar Rashid. Alistair menjelaskan: “Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin berminat untuk menandatangani Akhyar – jikalau beliau bersedia untuk berpindah.”

“Tetapi kami sedia maklum bahawa beliau masih mempunyai kontrak dan disebabkan perkara tersebut, kami tidak membuat tawaran kepada Akhyar,” tambah beliau lagi.

Alistair tidak mahu ada pihak mengaitkan JDT dalam hal yang berkaitan dengan sebarang usaha Akhyar Rashid yang dilihat cuba meminta agar kontrak beliau ditamatkan.

Alistair menyatakan: “Kami tidak boleh menerima tuduhan sedemikian hanya kerana pemain tersebut [Akhyar Rashid] mahu menamatkan kontrak beliau.”

“Sekiranya Akhyar ejen bebas tanpa kontrak, beliau bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang mempunyai hasrat untuk mendapatkannya, termasuk JDT.”

FAM putuskan Akhyar boleh tebus kontrak

Pada 5 Disember 2018 – FAM menerusi Jawatankuasa Statusnya mengumumkan keputusan mesyuarat pada 3 Disember 2018. FAM membenarkan Akhyar Rashid menebus kontrak beliau bernilai RM210,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Seterusnya, selepas Akhyar Rashid bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang menandatangani beliau perlu membayar RM75,000 kepada Kedah untuk pampasan latihan ataupun pembangunan (development clauses/bonus).

Akhyar, AFF B-19
Foto: Sport247

FAM menyatakan: “Tuntutan dikemukakan oleh 1 (seorang) pemain terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah berhubung penamatan kontrak melalui tebus kontrak.”

“Keputusan Jawatantkuasa Status FAM adalah; Tuntutan pengadu, Muhammad Akhyar Abdul Rashid telah diterima sepenuhnya dan pengadu adalah dibenarkan untuk menebus kontrak pemain bolasepak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.”

“Mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak pemain bolasepak bersama Pengadu seterusnya adalah dikehendaki untuk membayar kepada Responden, Persatuan Bolasepak Kedah sebanyak RM75,000 untuk pampasan latihan Pengadu.”

KFA tak puas hati

KFA menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan angka pampasan yang diletakkan oleh FAM. Dipetik daripada Sinar Harian, KFA menganggap nilai tersebut tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan KFA yang telah mengilap bakat pemain berkenaan sehingga menjadi rebutan oleh pasukan lain.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar berkata, jumlah pampasan kontrak tersebut sepatutnya ditentukan oleh KFA bukannya FAM atau pasukan yang mahu khidmat bintang muda itu.

Beliau berkata: “Saya ada melihat draf tersebut pagi tadi (semalam) dan mengakui nilainya begitu kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh KFA terhadap pemain tersebut sejak 2014 dan masih mempunyai baki kontrak setahun.

Akhyar Rashid cuba melepasi Natxo Insa dari JDT.

“Kami tidak puas hati di mana jumlah pampasan telah ditentukan dan bukannya dari KFA. Mungkin ada penasihat di belakang tapi itu kami tidak kisah. Sepatutnya Kedah yang buat keputusan kerana kami adalah majikan pemain,” katanya.

Mohd Asmirul kemudiannya mengumumkan mereka membuka pintu kepada mana-mana pasukan untuk berbincang dengan mereka, jika mereka berminat mendapatkan Akhyar Rashid.

“Kalau betul dia (Akhyar) nak keluar dari pasukan Kedah, sepatutnya pasukan yang berminat dengannya datang terus untuk berbincang berhubung pampasan kontrak pemain tersebut,” jelasnya.

“Jadi kalau diikutkan kepada FAM punya kata putus, bermula daripada tarikh hari ini (22 November), kami ada 10 hari untuk menyelesaikan kes Akhyar.

“Dan mungkin FAM akan jadi orang tengah ataupun perantara untuk kami dan pasukan baru Akhyar untuk mendapatkan kata putus.” kata Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa.

JDT sahkan Akhyar ejen bebas

JDT dalam kenyataan media oleh Martin Prest – Pengarah Sukan JDT – pada 19 Disember menyatakan Akhyar Rashid sudah menjadi ejen bebas 2 minggu yang lalu.

JDT yang memantau situasi kontrak Akhyar Rashid mengesahkan mereka sedang berunding dengan pemain tersebut untuk membawa beliau ke Larkin.

Martin Prest menganggap kehadiran Akhyar Rashid akan menguatkan lagi jentera serangan pasukan mereka untuk musim sulung mereka terlibat dalam ACL.

Prest berkata: “Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memulakan rundingan bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid, yang telah diumumkan sebagai pemain bebas dua minggu lalu.”

Kami ingin memperkuatkan pasukan menjelang tahun bersejarah di mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang akan bertanding di kejohanan Liga Juara-Juara AFC.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN