Mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berharap masalah penjualan tiket perlawanan penting seperti perlawanan akhir dapat diatasi supaya ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian melalui laman twitter miliknya dan mengakui kecewa dengan kejadian yang menimpa penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Saya kecewa dengan apa yang berlaku berkenan penjualan tiket final Piala AFF Suzuki. Saya berharap penyokong boleh memberikan idea mengenai solusi untuk isu penjualan tiket & berharap pihak FAM juga akan mencari jalan penyelesaian. Perkara ini tidak boleh berterusan.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 10, 2018
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku berkenan penjualan tiket final Piala AFF Suzuki. Saya berharap penyokong boleh memberikan idea mengenai solusi untuk isu penjualan tiket dan berharap pihak FAM juga akan mencari jalan penyelesaian. Perkara ini tidak boleh berterusan.
“Saya turut akan cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian supaya isu ini tidak berulang pada masa yang akan datang kerana penyokong adalah nadi bolasepak,” katanya.
Selain itu, kegagalan sistem jualan tiket dalam talian melalui laman web Tickethotline turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerana perkhidmatan jualan dalam talian yang disediakan oleh FAM disifatkan sangat teruk.
Satu laporan polis telah pun dibuat terhadap syarikat Ticket Hotline kerana disyaki berlaku penyelewengan dalam penjualan tiket ‘online’ yang bermula sejak hari jumaat.
Sebanyak 40,000 tiket diperuntukkan oleh FAM untuk jualan dalam talian dan kesemuanya telah habis dijual pada pukul 9.30 pagi semalam.
Pada awalnya, pihak FAM hanya mengumumkan akan menjual sebanyak 20,000 tiket secara online pada hari Jumaat namun jumlah itu terpaksa ditambah kepada 30,000 tiket selepas mendapat permintaan yang tinggi.
Malah, waktu jualan turut dibuka 30 minit lebih awal daripada waktu sebenar seperti diumumkan oleh FAM. Menurut setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam, situasi itu berlaku kerana pihak tickethotline melakukan ujian sistem mereka.