Hajat besar Inter Milan untuk menumbangkan Juventus dalam aksi Derby d’Italia tidak kesampaian setelah Nerazzurri tewas 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Stadium, awal pagi tadi.
Jaringan yang dihasilkan Mario Mandzukic menerusi tandukan pada minit ke-66 itu sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh sekaligus memberikan kemenangan ke-14 buat Juventus untuk terus gah mendahului saingan Serie A.
Kemenangan yang memberikan kelebihan 11 mata buat Juventus bagi meninggalkan pesaing utama, SS Napoli di tempat kedua, manakala Inter Milan berada di tangga ketiga selepas ketinggalan 14 mata.
Pemain tengah Inter Milan, Roberto Gagliardini terlepas peluang keemasan pada babak pertama selepas percubaan yang dilakukannya terkena palang gol walapun beliau sudah berjaya menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny.
Juventus yang turut memperolehi peluang membuka tirai jaringan juga gagal menyempurnakan peluang terhidang sehinggalah masuk minit ke-66.
Berpunca daripada hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Inter Milan dilakukan Jaoa Cancelo, bola terus singgah di kepala Mandzukic yang tidak melepaskan peluang bagi menanduk masuk bola untuk menewaskan Samir Handanovic.
Jaringan tunggal cukup berharga yang kekal hingga wisel penamat ditiupkan Massimiliano Irrati membolehkan Juventus mengumpul mata ke-43 selepas tamat 15 perlawanan liga sekaligus meneruskan rentetan rekod tanpa kekalahan dalam saingan domestik tersebut buat skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu.