Penentuan Sepakan Penalti Beri Tuah Buat Ultimate FC, Muncul Juara Sulung AXA KVL M5

Ultimate FC

Ultimate FC muncul juara sulung saingan AXA KVL M5 selepas berjaya menundukkan Gombak FA 3-2 hasil penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan masa kecederaan dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana, malam tadi.

Separuh masa pertama

Perlawanan penuh debaran bermula dengan agak seimbang buat kedua-dua pasukan. Ultimate FC terlebih dahulu mencipta peluang pertama pada minit ke 8 menerusi Philip Abbah dengan satu percubaan tepat ke arah pintu gol namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Gombak FA, Jamalulail Hassan.

Gombak FA juga berpeluang untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-17. Larian deras daripada bahagian sayap kanan dan hantaran cantik kepada Faizal Hafiq, penjaring terbanyak Gombak FA hanya sedikit tersasar melewati palang gol Ultimate FC.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ultimate FC memberikan respon pantas apabila hanya berselang seminit, satu gerakan cantik Ultimate FC hampir disudahkan oleh Steven Raj.

Rembatan leret beliau bagaimanapun gagal menemui sasaran.

Pada minit ke-20, Gombak FA mendapat sepakan percuma yang diambil oleh Rusyaidi Mohd Rodzi, namun ia berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Ultimate, Zulfadhli Ahmad Kamal walaupun pada mulanya beliau gagal menangkap dengan kemas percubaan tersebut.

Zulfadhli sekali lagi beraksi cemerlang setelah berjaya menyelamatkan dua kali berturut-turut percubaan terhadapnya pada minit ke-27 oleh Medina Mbeguere, sekali lagi menghampakan asakan daripada Gombak FA.

Pemain sayap berbisa Gombak FA, Royizzat Daud hampir memberikan ‘serangan jantung’ buat pasukan Ultimate FC pada minit ke-30.

Beliau melakukan satu rembatan jarak jauh yang tidak dijangka oleh Zulfadhli yang tidak bersedia namun percubaan beliau sekadar singgah di tiang gol Ultimate.

Separuh masa kedua

Tempo perlawanan pada separuh masa kedua bertukar sedikit perlahan buat kedua-dua pasukan.

Tiada sebarang percubaan dilakukan sehinggalah minit ke 51 menerusi penyerang import Ultimate FC, Chukwu Chijioke selepas beliau berjaya melepasi dua orang pertahanan Gombak FA di bahagian sayap kanan namun hantaran beliau berjaya ditangkap kemas oleh Jamalulail.

Chijioke sekali lagi mendapat peluang di hadapan pintu gol pada minit ke-52. Hasil hantaran cantik daripada bahagian tengah berjaya menemui Chijioke namun percubaan leret beliau tersasar.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke- 59. Ultimate FC mencetak gol pertama perlawanan melalui Chukwu Chijioke.

Beliau cemerlang mengelecek melepasi kawalan empat orang pertahanan Gombak FA dan kemudiannya melepaskan rembatan leret ke bahagian kiri gawang bagi menewaskan Jamalulail.

Belum pun sempat mengambil nafas, Gombak FA mempamerkan tindak balas yang begitu berkesan. Hanya seminit selepas jaringan pembukaan dihasilkan, pemain gantian, Alif Aiman berjaya mengikat kedudukan 1-1 apabila beliau berjaya memperdayakan pertahanan Ultimate.

Alif melepaskan rembatan padu menewaskan Zulfadhli yang gagal menampan kemas bola tersebut.

Gombak FA hampir memastikan mereka mendakap kejuaraan di minit-minit akhir perlawanan, bagaimanapun gerakan cantik Alif Aiman yang mencari Hadi Mizei sekadar terkena palang.

Keputusan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan dan aksi berlanjutan ke masa tambahan.

Masa tambahan

Medina hampir memberi gol kemenangan buat Gombak FA sebaik wisel masa tambahan dibunyikan.

Beliau melakukan rembatan daripada sudut sukar namun masih berjaya ditepis keluar oleh Zulfadhli.

Gombak FA sekali lagi cuba menguji barisan pertahanan Ultimate FC pada minit ke-76, apabila Royizzat Daud melakukan rembatan kencang yang sekali lagi cemerlang diselamatkan oleh Zulfadhli.

Sepakan penalti

Penjaga gol gantian, Afiff Aizat bertindak cemerlang apabila beliau berjaya menafikan tiga sepakan awal yang diambil pemain Gombak FA untuk memastikan kemenangan 3-2 berpihak buat pasukannya sekaligus menobatkan Ultimate FC selaku juara sulung saingan M5 ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN