Bangkit dua kali dari ketinggalan masih belum cukup buat skuad futsal B-20 negara daripada mengelak kekalahan pada pertemuan menentang Thailand, petang semalam di Stadium Tertutup Hua Mak, Bangkok.
Perlawanan yang menyaksikan skuad negara tumpas 4-2 ditangan pasukan tuan rumah itu merupakan aksi kedua buat skuad negara dalam saingan Kelayakan AFC B-20 2019 selepas mereka menang pada aksi pertama bertemu Myanmar.
Somchai Auyongseng yang langsung tidak dikawal pemain skuad negara membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas beliau menolak masuk bola dengan mudah hasil hantaran dari sebelah kanan pintu gol negara oleh Siksaka Paramong.
Berpunca daripada hantaran jauh dari kawasan sendiri yang memerangkap pemain Thailand dilakukan ketua pasukan, Iskandar Harun, Muhammad Ekmal Shahrin mengawal bola dengan baik dan seterusnya melakukan percubaan lambung bagi menewaskan penjaga gol Thailand, Arin Sumrithrin untuk Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-10.
Kesilapan Iskandar akibat kurang cermat ketika membuat hantarab dalam situasi sepakan penjuru pada minit ke-24 nyata memakan diri apabila Thailand melancarkan serangan balas pantas yang tidak disia-siakan Nattasak Photi bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Hanya seminit berselang, skuad negara yang dibimbing bekas pemain futsal kebangsaan, Jamhuri Zainuddin sekali lagi memadamkan kelebihan tuan rumah menerusi jaringan Muhamad Zakry Asraf Roslan.
Pemain kelahiran Ipoh itu berjaya melakukan pintasan bola dengan baik dan kemudiannya meluru pantas ke hadapan sekaligus melakukan sepakan sungkitan yang cukup menarik.
Bagaimanapun kealpaan skuad negara dihukum Thailand yang menghasilkan dua jaringan menerusi Thawatchai Rairat dan Supakorn Sangom bagi melengkapkan kemenangan buat mereka.
Skuad negara akan turun menentang Indonesia pada perlawanan ketiga petang ini (5.15 petang waktu tanah air) dan kemenangan akan mencerahkan peluang Malaysia bagi melayakkan diri ke peringkat akhir pada tahun hadapan.