Quantcast

BERITA

Piala AFF: Presiden Thailand FA Pertahan Rajevac Selepas Dikritik Akibat Tewas Kepada Malaysia

Presiden Thailand FA (FAT), Somyot Poompunmuang tampil mempertahankan Ketua Jurulatih pasukan negara itu, Milovan Rajevac selepas cabaran Gajah Perang di Piala AFF Suzuki berakhir di tangan Malaysia.

Thailand mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan di peringkat separuh akhir pertama kejohanan serantau itu di Bukit Jalil, sebelum sekadar seri 2-2 dalam perlawanan timbal balik di Bangkok pada Rabu lalu.

(Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)

Keputusan tersebut bermakna Malaysia mengetepikan cabaran Thailand melalui peraturan gol di tempat lawan.

Dikritik teruk oleh media dan penyokong di Thailand, Samyot tampil untuk menenangkan tekanan yang diarahkan kepada pengendali dari Serbia itu. Malah Presiden FAT itu berkata kedudukan Rajevac adalah selamat, dan jurulatih berusia 64 tahun itu akan membimbing skuad Gajah Perang di Piala Asia pada Januari hadapan.

“Pencapaian skuad Thailand dan barisan kejurulatihan sedia ada tidak boleh dinilai berdasarkan prestasi di pertandingan Piala AFF Suzuki kerana ini bukan pasukan utama kita.

(Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)

“Pasukan ini tampil tanpa empat pemain penting yang berkelana di luar negara iaitu Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan dan juga Kawin Thamsatchanan.

“Persediaan untuk Piala Asia akan bermula pada 19 Disember hadapan, dan prestasi Rajevac hanya akan dinilai pada Februari tahun hadapan,” jelas Samyot mengenai kedudukan bekas pengendali skuad Piala Dunia Ghana itu.

(Photo by Allsport Co./Getty Images)

Samyot turut meminta semua penyokong memahami bahawa kalah atau menang itu adalah adat di dalam perlawanan bola sepak.

“Sudah tentu saya memahami apa yang dirasai oleh penyokong bola sepak Thailand sekarang kerana saya turut merasai perkara yang sama. Tetapi kita kena faham. Di dalam pelawanan bola sepak, ia boleh berakhir dengan kemenangan, seri atau kekalahan.”

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!