Penyerang sensasi Thailand – Adisak Kraisorn – meletakkan misi peribadi untuk memenangi kasut emas edisi Piala AFF 2018 selain daripada misi berpasukan iaitu mara ke final dan menjuarai trofi tersebut.
Beliau juga berharap akan membantu pasukannya mara ke final dengan menyingkirkan Malaysia pada separuh akhir. Aksi kedua separuh akhir di antara Thailand dan Malaysia berlangsung malam ini di Stadium Rajamangala.
Adisak agak sunyi dalam aksi di Kuala Lumpur tempoh hari. Setakat ini Adisak Kraisorn sudah menjaringkan 8 gol. Beliau menjaringkan 6 gol ketika aksi menentang Timor Leste di peringkat kumpulan.
Baru tahu rekod Noh Alam Shah
Adisak hanya 2 gol di belakang Noh Alam Shah – pemain Singapura – yang menjaringkan 10 dalam satu edisi. Noh Alam Shah melakukannya pada 2007.
Namun begitu Adisak enggan meletakkan misi peribadinya mengatasi misi berpasukan. Beliau meletakkan misi menjuarai Piala AFF 2018 sebagai misi lebih mustahak. Adisak berkata: “Saya hanya tahu statistik seperti ini selepas media memberitahu saya. Sudah tentu saya mahu jaringkan lebih banyak gol.”
“Ianya akan menjadi bonus jika berjaya menjaringkan lebih 10 gol dan memecahkan rekod itu. Namun lebih penting untuk memenangi kejohanan ini.”
Jangkakan pertemuan menarik
Adisak menjangkakan para penyokong akan disajikan dengan satu perlawanan yang menghiburkan pada malam ini. Adisak memuji corak permainan Malaysia dan menganggap Thailand sangat bernasib baik kerana tak bolos dalam perlawanan pertama di Bukit Jalil.
Bagi Adisak, Malaysia adalah pasukan lebih baik ketika itu dan Thailand menjadi pasukan kedua terbaik sepanjang malam di Bukit Jalil dalam semua aspek.
“Saya jangkakan perlawanan ini akan menghiburkan. Dalam perlawana pertama di Malaysia, kami bernasib baik kerana tak bolos sebarang gol. Saya menyeru semua peminat Thailand datang bersorak menyokong kami sehingga mencapai kejayaan.”
“Perkara pertama adalah, kami perlu jaringkan gol. Kami akan cuba mencari seberapa banyak gol yang mungkin. Saya juga akan cuba melakukan terbaik untuk menjaringkan gol.”
Adisak antara pemain yang berada dalam skuad ketika Thailand menewaskan Malaysia di final 2014.
Namun begitu, pada edisi 2016 beliau disisihkan kerana kecederaan. Beliau juga khuatir akan kehilangan tempat dalam edisi kali ini selepas beberapa siri kecederaan sepanjang tahun 2018.
“Ianya tahun yang sukar kerana saya berehat sekitar 8 bulan kerana kecederaan.”
“Saya cuba sedaya upaya untuk berjuang dan bersaing dengan para pemain lain untuk mendapatkan semula tempat dalam pasukan kebangsaan. Saya menikmati permulaan yang hebat dalam kejohanan kali ini. Saya berharap akan terus dapat meningkatkan aksi saya.”