Previu Piala AFF: Mampukah Harimau Malaya Leburkan Kemarau Kemenangan 14 Tahun Di Thailand?

Harimau Malaya
“Berjuang biarlah tunggang hilang berani mati. Janganlah sampai berputih mata. Ayuh, selesaikan perhitungan ini.”

Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Thailand di laman lawan adalah dalam aksi persahabatan sekitar bulan Ogos 2004 ketika di bawah kendalian jurulatih, Bertalan Bicskei. Malaysia berjaya menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Supachalasai, Bangkok, hasil jaringan Liew Kit Kong dan V. Saravanan.

Selepas itu, kemarau kemenangan di bumi Thailand berterusan sehingga kini dan Tan Cheng Hoe pastinya mahu meleburkan rekod 14 tahun tanpa kemenangan tersebut. Pada edisi 2014, Dollah Salleh gagal ketika bertandang ke Bangkok apabila tumpas 0-2 kepada juara 5 kali Piala AFF itu di pentas final.

Pemain-pemain Thailand yang tampak ‘kecut perut’ ketika terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil tempohari kini mula bercakap besar menjelang aksi timbal balik di halaman sendiri pada malam ini. Mereka percaya Gajah Perang bakal mengamuk di depan penyokong sendiri di Stadium Rajamangala.

Harimau Malaya juga dilihat melaungkan keyakinan mampu untuk melakukan perkara yang sama disamping mahu lebih berwaspada dengan kemampuan Thailand di halaman sendiri. Kapten, Zaquan Adha menuntut rakan sepasukan untuk memberi jawapan balas kepada keangkuhan lawan dengan aksi positif di padang.

Rekod pertembungan

Rekod pertembungan antara kedua-dua pasukan tidak memihak kepada Malaysia. Thailand cemerlang dengan 5 kemenangan dalam 9 pertemuan menentang Malaysia sejak 10 tahun lalu.

Harimau Malaya hanya mampu menang sekali iaitu pada edisi 2014 yang lalu dengan kemenangan 3-2. Baki tiga perlawanan lagi menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.

Dalam pertembungan terkini di separuh akhir pertama tempohari, Malaysia mensia-siakan deretan peluang yang tercipta di saat Gajah Perang sudah bertukar menjadi Gajah Duduk (bertahan).

Rekod pertemuan di Piala AFF

Mampukan Harimau Malaya mengulangi episod kemenangan selesa 3-1 mereka ke atas Gajah Perang seperti yang dilakukan oleh Akmal Rizal dan rakan-rakan pada edisi 2002?

Walaupun pernah menang selesa, dalam saingan Piala AFF sejak 1996, rekod kemenangan sebenarnya memihak kepada Thailand dengan 8 kemenangan direkodkan dalam 15 pertembungan.

Malaysia hanya beroleh kemenangan sebanyak 3 kali iaitu pada edisi 2002, 2004 dan terkini pada 2014 yang lalu.

Ini misi sukar buat skuad negara. Jika melihat aksi yang ditampilkan tempohari, Malaysia mampu mengulangi keputusan seperti di edisi 2002 itu, namun Thailand tidak akan duduk sahaja kali ini.

Rekod semasa

Lima aksi terkini skuad Malaysia (M-M-K-M-S)

  • 8 November: Menang vs Kemboja 1-0 (Piala AFF)
  • 12 November: Menang vs Laos 3-1 (Piala AFF)
  • 16 November: Kalah vs Vietnam 0-2 (Piala AFF)
  • 24 November: Menang vs Myanmar 3-0 (Piala AFF)
  • 1 Disember: Seri vs Thailand 0-0 (Piala AFF)

Lima aksi terkini skuad Thailand (M-M-S-M-S)

  • 9 November: Menang vs Timor Leste 7-0 (Piala AFF)
  • 17 November: Menang vs Indonesia 4-2 (Piala AFF)
  • 21 November: Seri vs Filipina 1-1 (Piala AFF)
  • 25 November: Menang vs Singapura 3-0 (Piala AFF)
  • 1 Disember: Seri vs Malaysia 0-0 (Piala AFF)
Apa kata jurulatih

Tan Cheng Hoe: “Di Malaysia tempohari, para pemain telah berikan aksi terbaik mereka dan kita berharap untuk meneruskan momentum, intensiti dan juga kemahuan yang sama.”

“Saya inginkan para pemain bersedia dari segi mental dan fizikal kerana kita perlu fokus sepenuhnya sepanjang 90 minit untuk menghalang mereka daripada menjaringkan gol.”

Milovan Rajevac: “Malaysia telah mendapat sokongan yang hebat daripada penyokong mereka dalam aksi pertama dan kami juga akan mendapat sokongan yang sama daripada penyokong kami.

“Kami tahu betapa pentingnya kejohanan ini. Semua pemain telah bersedia dan bermotivasi tinggi – tidak kira pemain-pemain yang pernah beraksi di peringkat sebegini dan juga yang pertama kali.”

Penalti untuk tentukan pasukan ke final?

Jika kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan tanpa jaringan sekali lagi dalam perlawanan ini, pemenang yang bakal melangkah ke final akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sepanjang 11 edisi penganjuran, hanya edisi 2007 menyaksikan penentuan sepakan penalti menjadi pemisah kepada dua semifinalis ketika itu untuk menempah tiket ke pentas akhir.

Singapura telah menewaskan Malaysia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan agregat 2-2 dalam masa sebenar.

Adakah sejarah bakal berulang? Melihatkan situasi dan keupayaan kedua-dua pasukan ketika ini, segalanya mungkin dan sepakan penalti adalah penyelesaian terakhir buat kedua-dua pasukan.

Situasi Sumareh dan Syazwan Andik

Bercakap kepada Berita Harian, menurut Tan Cheng Hoe, pemain sayap, Mohamadou Sumareh telah kembali pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya tempohari.

Foto: Kosmo

Pasti itu adalah berita yang melegakan kerana impak Sumareh di jentera sayap sangat diperlukan oleh Harimau Malaya. Jika mahu menampilkan rentak yang sama, kemampuannya menewaskan benteng lawan dengan larian pantas amat diperlukan.

Namun, sedikit membimbangkan, Cheng Hoe turut memaklumkan yang tahap kecergasan Syazwan Andik dan Aidil Zafuan masih perlu dinilai dan segalanya akan terjawab pada hari ini.

Sebelum wisel

Gajah Perang mengharapkan aura sokongan penyokongnya sama sebagaimana yang telah dilakukan oleh penyokong Malaysia di Bukit Jalil tempohari bagi mengentarkan para pemain negara.

Mereka telah melalui ‘neraka’ 90 minit yang penuh tekanan apabila pemain ke-12 negara juga menampilkan prestasi cemerlang bersorak untuk skuad Harimau Malaya, Sabtu lalu.

Ini umpama babak kedua saingan separuh akhir, babak terpenting untuk skuad kebangsaan menampilkan prestasi terbaik seterusnya menewaskan raja Asia Tenggara tersebut.

Telah berjaya mengikat lawan dengan keputusan tanpa jaringan di Bukit Jalil tempohari adalah positif dan telah memberikan sedikit kelebihan serta keyakinan kepada barisan pemain negara.

Apa yang ditagih ketika ini adalah Harimau Malaya perlu terus memburu jaringan. Sentuhan penyudah yang berbisa sangat diperlukan untuk saingan dan perhitungan terakhir ini.

Usah risau, ribuan ‘ekor’ Harimau Malaya telah mula merentasi perjalanan dari tanah air ke Bangkok melalui darat, udara dan air.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN