Pengendali Arsenal, Unai Emery mengakui bahawa skuad yang bakal ditentang anak buahnya sebentar lagi di Stadium Emirates, Tottenham Hotspur adalah lebih baik berbanding Arsenal.
Hakikat itu diakui Emery apabila melihat Arsenal hanya mampu menang sekali dalam lapan pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan.
Tottenham Hotspur juga berjaya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di atas Arsenal dalam dua musim terakhir liga popular di dunia itu.
Bagi musim ini pula, selepas mengharungi 13 perlawanan liga, skuad bimbingan Mauricio Pochettino mendahului Arsenal dengan tiga mata untuk berada di tangga ketiga manakala The Gunners ditempat kelima.
”Ketika ini, Tottenham adalah lebih baik berbanding kami dalam carta liga dan juga seperti musim lalu (Arsenal tamatkan saingan di bawah Spurs) tetapi mengikut sejarah, Arsenal adalah pasukan yang lebih baik berbanding Tottenham.”
Dalam pada itu, Emery turut melihat sambutan yang akan diberikan kedua-dua penyokong pada perlawanan ini akan mewujudkan atmosfera yang cukup baik.
”Saya rasa kami akan dihidupkan dengan kemeriahan dua kumpulan penyokong dan saya turut merasakan ia akan menjadikan suasana yang cukup baik.”
”Perlawanan pertama diadakan di stadium kami dan dengan sokongan para peminat, kami mahu menyajikan aksi menarik buat mereka pada perlawanan Ahad (hari ini) ini.”
Kali terakhir Arsenal berjaya menumpaskan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris adalah pada musim lalu yang menyaksikan jaringan Shkodran Mustafi dan Alexis Sanchez melengkapkan kemenangan 2-0 di Emirates.