Puchong Fuerza melakar kejutan besar untuk mara ke perlawanan akhir Selangor Champions League 2018 di Stadium MPSJ selepas menumbangkan pilihan utama, NPNG Damansara Damai 2-0. Puchong Fuerza akan bertemu KRU Port Klang dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam pada 16 Disember nanti.
Belum sempat pasukan pilihan, NPNG betul-betul panas, Puchong Fuerza sudah pun menembusi gawang gol lawan mereka. Berpunca daripada sepakan percuma dari jarak 35 ela yang nampak tidak berbahaya, Arfiyansah Abdul Jafar membuktikan sebaliknya.
Persis sepakan percuma Faiz Subri yang merangkul Anugerah FIFA Puskas 2016, sepakan Arfiyansah terus menuju ke arah pintu gol NPNG. Penjaga gol NPNG, Zaidi Razlee kelihatan terkeliru dengan perubahan arah saat-saat terakhir pada bola tersebut, lalu menewaskan untuk gol pembukaan perlawanan.
NPNG cuba bangkit dari gol pendahuluan yang menakjubkan tersebut. Seperti biasa, Ridhwan Johari menggunakan fizikalnya untuk menghubungkan jentera tengah dengan serangan. Tetapi berhadapan dengan 3 pertahanan tengah Puchong Fuerza, bekas penyerang skuad Piala Presiden Selangor tersebut sukar untuk menonjolkan pengaruhnya.
Di bahagian sayap, Haiqal Johari dan Ismail Mamat yang mempunyai tabiat memporak-perandakan bek sisi lawan mereka sebelum ini berdepan dengan seteru yang setaraf. Mereka sukar untuk menewaskan sistem back three Puchong Fuerza yang berubah menjadi back five setiap kali NPNG menyerang.
Manakala peluang Puchong Fuerza pula terhad kepada serangan balas selepas mendahului NPNG.
Pada minit ke-35, Haikal Mat Radzi mempunyai satu peluang untuk menggandakan gol pasukannya. Mendapat hantaran yang baik hasil rancangan serangan dari kiri, Haikal menggunakan kelajuannya untuk menewaskan S. Harivarman sebelum melepaskan rembatan. Bagaimanapun rembatan Haikal sedikit tersasar.
Pertahanan NPNG berdepan dengan banyak kesukaran menangani kelincahan Hakim Zainal di tengah dan Haikal Mat Radzi di kanan. Pada minit ke-61′, Hakim menanduk masuk hantaran lintang Haikal dari kanan. Bagaimanapun tandukan beliau tersasar.
7 minit kemudian, Hakim mempunyai satu peluang untuk menebus kesilapan beliau sebelum itu selepas berjaya melepasi kawalan ketat Wan Mohd Hamizi. Bagaimanapun sekali lagi percubaan beliau tersasar – buat kali kedua!
Kesukaran Puchong Fuerza untuk menggandakan kelebihan gol mereka berterusan pada minit 71. Ketika Haikal tidak dikawal sesiapa dalam kotak penalti, beliau gagal menanduk tepat bola sepakan percuma kaptennya, Zulkefli Baharuddin.
Mujurlah mereka mempunyai Afiq Azmi. Mendapat peluang sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti NPNG, penyerang yang tidak terkenal dengan kualiti teknikalnya kelihatan tekad mahu mengambil sepakan percuma pada minit 71′. Hasilnya beliau berjaya menjaringkan gol, menewaskan benteng pertahanan NPNG dan Zaidi Razlee yang hanya mampu melihat bola menerjah jaringnya.
Ketinggalan 0-2, NPNG terus menyerang. Tetapi kekeringan idea. Di sebalik dominasi penguasaan bola mereka, NPNG terpaksa akur dengan keutuhan benteng pertahanan Puchong Fuerza yang kebal sepanjang kejohanan.
Pemain terbaik perlawanan: Arfiyansah Abdul Jafar (Puchong Fuerza)