Susulan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Myanmar semalam, penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha menyatakan kegembiraannya dengan persembahan pasukan sambil menganggap sokongan penyokong Malaysia juga sebagai luar biasa.
Penyerang Kuala Lumpur ini menyifatkan kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik mereka untuk mendapatkan 3 mata berharga. Kemenangan tersebut penting untuk memastikan Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF 2018.
Namun begitu, Zaquan yang juga kapten pasukan kebangsaan tidak mahu terlalu terbuai-buai dengan kemenangan tersebut. Beliau mengingatkan semua pemain untuk terus meningkatkan lagi prestasi bagi mencapai kemenangan. “Pertama sekali syukur Alhamdullilah, kerana kami berjaya memenangi mata penting,” kata beliau.
Zaquan Adha yang menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Myanmar turut mengaku beliau dan rakan-rakan sepasukannya perlu bekerja keras lagi. “Kami tak tahu siapa lawan kami selepas ini [di separuh akhir]. Jadi saya harap kami dapat memberikan yang lebih baik lagi.”
Ketika ditanya mengenai perasaan beliau ketika mengambil sepakan penalti yang menghasilkan gol ke-2 Malaysia semalam, Zaquan Adha berkata: “Saya hanya memikirkan bola itu harus masuk. Bagi saya tak penting siapa [sekalipun] penjaring, paling penting adalah kami [pasukan] menang.”
Zaquan turut teruja dengan sokongan yang diberikan oleh lebih 83,000 penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
“Sudah tentunya luar biasa setiap kali kami beraksi di hadapan penyokong kami sendiri. Terima kasih kepada semua penyokong Malaysia. Saya harap selepas ini mereka datang lagi untuk memberikan kami sokongan yang lebih lagi.”
“Ya, saya berharap ini permulaan yang baik untuk bola sepak Malaysia. Walaubagaimanapun kita perlu berkerja lebih keras. Kita tidak mahu menang hari ini dan perlawanan seterusnya kita kalah. Kita harus teruskan [momentum] kemenangan.”
“Bagi saya, kami hanyalah untuk ke separuh akhir. Siapa lawan kami di separuh akhir, kami akan fikirkan kemudian. Bagi kami, bukan mudah untuk menjadi juara, kami perlu bekerjasama dalam pasukan.”
“Ya, kami juara pada edisi 2010, namun ini adalah episod baharu. Kami perlu bekerja lebih keras sebagai satu pasukan dan berharap dapat menjadi juara [sekali lagi] pada 2018.”