Skuad negara gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tunduk 0-2 di tangan Vietnam pada aksi ketiga peringkat kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Skuad negara bermula positif serta tidak menunjukkan rasa gerun walaupun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah selepas berjaya mengawal permainan dengan baik pada 10 minit awal.
Namun, mengawal permainan sahaja tidak cukup buat anak buah Tan Cheng Ho tanpa serangan berbisa yang dapat dicipta bagi mengancam kubu Vietnam.
Lorongan hasil gerakan yang diilhamkan Mohamadou Sumareh pada minit ke-5 dari sebelah kiri pintu gol Vietnam juga mudah dipatahkan pertahanan Vietnam.
Manakala Vietnam pula hanya memerlukan serangan pertama untuk menghasilkan jaringan menerusi Nguyen Cong Phuong selepas pemain yang dikenali sebagai ‘Messi Vietnam’ itu menyempurnakan percubaan susulan kesilapan sepakan Nguyen Anh Duc pada minit ke-11.
Ketika pemain pertahanan negara memberikan fokus terhadap Anh Duc yang mahu melepaskan rembatan, Cong Phuong yang tidak dikawal dengan tenang menolak bola masuk membolosi Khairul Fahmi Che Mat.
Malaysia kemudiannya kembali mendominasi permainan dalam usaha memburu jaringan penyamaan tetapi jentera pertahanan Vietnam bertahan dengan baik untuk menghalang barisan serangan skuad negara menembusi kawasan gol mereka.
Separuh masa kedua
Skuad negara terus mengawal permainan ketika perlawanan kembali bersambung dalam meneruskan misi memburu jaringan.
Pemain gantian, Safawi Rasid mencemaskan gawang tuan rumah pada minit ke-58 selepas sepakan percuma yang diledakkan berjaya ditepis keluar penjaga gol, Dang Van Lam.
Situasi yang sama terjadi lagi berselang dua minit kemudian seperti aksi di babak pertama selepas ketika skuad negara melancarkan asakan, pemain Vietnam menggunakan serangan balas pantas bagi menghukum skuad negara.
Berpunca dari lorongan kemas Phan Van Duc yang terus mencari Nguyen Anh Duc bagi melepasi perangkap ofsaid, ia tidak disia-siakan penyerang berusia 33 tahun itu untuk menjadikan kedudukan 2-0. Gol yang sekali lagi menggamatkan Stadium Nasional My Dinh.
Kerja keras para pemain negara yang berhempas pulas mencipta gerakan serta sesekali Vietnam mencuba dengan serangan balas pantas masih gagal menambah jaringan yang diharapkan kedua-dua pasukan untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0.
Dengan kekalahan ini menyaksikan skuad negara kini berada di tangga ketiga walaupun berkongsi enam mata bersama-sama Myanmar (tangga pertama) dan Vietnam (kedua).
Laluan yang tampak berliku buat skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan separuh akhir. Namun, tiada yang mustahil. Ayuh bangkit, Malaysia!
Kredit foto: VnExpress/Giang Huy