Inter Milan sedang berada dalam prestasi terbaik mereka dengan 7 kemenangan berturut-turut. Nerazzurri juga berjaya melakukan 5 clean sheets dalam 7 kemenangan tersebut – termasuk purata sekurang-kurangnya 2 gol dalam 5 daripada 6 perlawanan terakhir mereka.
Namun begitu – semalam – rekod itu ditamatkan oleh Atalanta dalam perlawanan yang digelar Derbi Lombardy. Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini menganggap kemenangan itu sangat berharga kerana Inter Milan adalah pasukan nama besar.
Hans Hateboer meletakkan Atalanta di hadapan pada minit ke-8 – menyempurnakan hantaran lintang oleh Robin Gosen yang ditujukan ke ‘far post’.
Inter gagal membalas gol itu pada separuh masa pertama. Malah penjaga gol Inter – Handanovic dipaksa bekerja keras menafikan beberapa percubaan daripada pemain Atalanta termasuk daripada Gosens, Josip Ilicic dan melankukan point blank save menyelamatkan percubaan Rafael Toloi.
Ilicic mempersia-siakan peluang dari jarak dekat untuk menambah gol pasukannya Atalanta. Ini selepas percubaan beliau tersasar.
Bersambung babak kedua – penyerang sensasi Inter Milan – Mauro Icardi – menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-47.
Namun gol itu masih gagal menjadi tonik pembakar semangat kepada Inter Milan. Ini kerana mereka terus bergelut dengan prestasi mereka di dalam perlawanan ini. Sebaliknya, pada minit ke-62 – Gianluca Mancini meletakkan Atalanta di hadapan sekali lagi.
Ketika perlawanan berbaki 2 minit lagi Berat Djimsiti menjaringkan gol ke-3 untuk Atalanta.
Kapten pasukan Atalanta – Alejandro Gomez melengkapkan hari gemilang pasukannya dengan gol ke-4 pada masa kecederaan sebaik sahaja pemain Inter – Brozovic dibuang padang. Atalanta menang 4-1 dalam perlawanan tersebut.
Pengurus Inter Milan,Luciano Spalletti kecewa kerana para pemain beliau tidak dapat fokus sepanjang perlawanan terutama sekali selepas ketinggalan awal.
“Kami hilang fokus dalam perlawanan ini untuk tempoh yang lama. Kami pasukan yang tiada variasi, kami gaga bertahan dengan baik dan memberikan ruang beberapa meter tambahan kepada pemain lawan. Hari ini, kami membuatkan semuanya menjadi sukar untuk diri sendiri.”
“Kami harus terima kekalahan ini, ianya perlawanan yang boleh kami jadikan rujukan untuk belajar daripada kesilapan dan pastikan kami tak akan mengulanginya lagi.”