Skuad negara meraih kemenangan sulung dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 selepas menang tipis 1-0 keatas Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.
Kemboja mendapat suntikan semangat ribuan penyokong sendiri melancarkan serangan seawal minit ketiga apabila Sos Suhana berjaya melepasi perangkap ofsaid, yang kemudiannya melakukan hantaran lintang buat Reung Bunheing yang tidak dikawal.
Mujur Bunheing yang menerima bola tersebut berada dalam keadaan tidak stabil sekaligus menggagalkan beliau untuk melakukan sebarang percubaan ke pintu gol skuad negara.
Ketua pasukan Kemboja, Soeuy Visal turut menguji gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat selepas percubaannya dari luar kotak penalti tersasar ke kanan pintu gol Malaysia pada minit ke-12.
Bingkas bangkit dari ‘lena’ pada awal permainan, anak buah Tan Cheng Hoe memperkemaskan aksi untuk melancarkan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.
Norshahrul Idlan Talaha terlepas peluang keemasan setelah beliau berjaya melepasi kawalan pertahanan Kemboja hasil permainan satu dua di hadapan kawasan gol, meluru pantas ke hadapan gol.
Penyerang Pahang itu bagaimanapun melakukan rembatan menggunakan ‘outside foot’ yang kemudiannya tersasar. Terlepas peluang keemasan yang benar-benar merugikan kem negara.
Giliran pemain paling bernilai, Safawi Rasid pula mengancam kubu Kemboja yang dikawal Um Vichet pada minit ke-26 tetapi sepakan cantik yang dilepaskan terkena tiang gol.
Berselang empat minit kemudian, Norshahrul menebus kesilapan yang dilakukannya apabila berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Zaquan yang terus menerjah jaring untuk memberikan gol pendahuluan buat skuad negara.
Malaysia hampir menambah jaringan kedua namun jaringan yang dihasilkan Zaquan Adha pada minit ke-34 dibatalkan selepas beliau dikesan ofsaid.
Aksi bersambung memperlihatkan penguasaan skuad negara dalam usaha memburu jaringan. Namun, tidak banyak serangan berbahaya yang dapat dicipta.
Kemasukan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri yang diharapkan dapat memberikan sumbangan positif di bahagian hadapan juga masih menemui jalan buntu.
Serangan pada minit ke-80 oleh Mohamadou Sumareh menerusi larian solo sedikit memberikan kegusaran buat pertahanan Kemboja tetapi Vichet tidak berdepan masalah untuk menghalang percubaan tersebut.
Serangan yang cuba dilancarkan Kemboja ke arah kubu Malaysia juga mudah dipatahkan jentera pertahanan negara yang dikemudi Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Shahrul Saad.
Empat minit masa kecederaan yang diberikan jelas didominasi skuad negara tetapi masih lagi gagal mencipta jaringan yang diharapkan apabila percubaan dari Sumareh hanya singgah di tiang gol Kemboja.
Jaringan tunggal Norshahrul di minit ke-30 kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Malaysia.
Kredit foto: FAM