Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa skuad futsal kebangsaan kini sedang bersaing dalam Kejuaraan Futsal AFF 2018 di Jogjakarta, Indonesia.
Raih sembilan mata maksimum
Selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan A, skuad yang dibimbing Chiew Chun Yong itu mencatatkan rekod kemenangan 100 peratus.
Aksi sulung pasukan negara yang kini menduduki tangga ke-54 ranking futsal dunia tidak menghadirkan sebarang masalah besar setelah mudah menundukkan Kemboja 10-0 kelmarin.
Cabaran sukar yang diterima semalam ketika menentang tuan rumah, Indonesia juga tidak membuatkan skuad negara goyah walaupun turut berhadapan hampir 5,000 penyokong ‘sang garuda’ selepas berjaya mencatatkan kemenangan 7-5.
Pertembungan menentang Myanmar hari ini juga menyaksikan Khairul Effendy Bahrain dan rakan sepasukan meraih kemenangan 3-2 untuk skuad negara gah berada di tangga teratas kumpulan A.
Siapa lawan Malaysia di separuh akhir?
Lawan yang bakal ditentang Malaysia pada aksi separuh akhir adalah pasukan yang pernah merasai pengalaman mara ke peringkat 16 terbaik di Piala Dunia 2016 iaitu Vietnam pada hari Jumaat ini jam 3.00 petang waktu tanah air.
Rekod pertemuan sejak tahun 2015 jelas memihak skuad kebangsaan apabila Malaysia berjaya menewaskan lawan tersebut pada aksi perebutan tempat ke-3/4 Kejuaraan Futsal AFF 2015 dengan keputusan 6-5.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum Malaysia mengecewakan Vietnam di hadapan penyokong mereka sendiri selepas menang 5-1 dalam pertembungan separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2017.
Aksi terakhir melibatkan Malaysia dan Vietnam adalah pada Februari lalu dalam kempen Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei yang turut dimenangi skuad negara 2-1 menerusi dua jaringan lewat oleh pemain muda, Mohd Awalludin Mat Nawi.
Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Indonesia menentang juara 13 kali kejohanan, Thailand.
Barisan pemain
Berikut adalah senarai lengkap 14 pemain skuad futsal negara yang beraksi di Jogjakarta:
1) Azrul Hadee Mohd Taufiq
2) Muhammad Syafiq Hamzah
3) Abu Haniffa Hassan
4) Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin
5) Saiful Nizam Mohd Ali
6) Muhammad Azri Rahman
7) Mohd Azwann Ismail
8) Yazid Kamaruzuan
9) Mohd Awalludin Mat Nawi
10) Mohd Ridzwan Bakri
11) Muhammad Shamar Fadzil
12) Syed Aizad Daniel Syed Nasir
13) Ahmad Harith Naim Mohd Nasir
14) Muhammad Iqbal Aikal Mohd Noor
Kredit video & foto: Bolalob