Leicester City bercadang untuk menukar nama stadium milik mereka sempena nama pemilik, Vichai Srivaddhanaprabha yang terkorban dalam nahas helikopter pada hujung minggu lalu.
Pemilik kelab berusia 60 tahun itu yang juga merupakan pengerusi Leicester adalah salah seorangb daripada lima penumpang yang terkorban selepas berlepas dari stadium selepas menyaksikan perlawanan di antara Leicester City menentang West Ham yang berkesudahan seri 1-1.
Dua kakitangan Vichai, Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare serta juruterbang, Eric Swaffer dan Izabela Roza Lechowicz adalah empat lagi mangsa nahas tersebut.
Cadangan penukaran nama tersebut didedahkan oleh ESPN FC dari sumber dalaman kelab.
Anak lelaku kepada Vichai, Aiyawatt yang merupakan naib pengerusi kelab kini berada di Leicester untuk memberi penghormatan terakhir kepada ayahnya.
Beliau dijangka akan berbincang dengan pegawai eksekutif kelab, Susan Whelan pada hujung minggu ini untuk mencari kaedah terbaik untuk mengabadikan nama ayahnya untuk kelab.
Sumber yang sama turut melaporkan Aiyawatt akan mengambil alih peranan pengerusi kelab secara interim buat sementara waktu.
Aiyawatt dan beberapa individu penting syarikat King Power Group dikatakan memilih untuk menamakan semula Stadium King Power kepada Stadium Khun Vichai.
Kelab tersebut turut merancang membina sebuah pusat pusat latihan bernilai $100 juta yang turut akan mengambil nama jutawan dari Thailand itu.
Kompleks latihan tersebut dilaporkan akan mempunyai 500 tempat duduk, beserta 12 padang bola sepak untuk tujuan latihan.
Hubungan Vichai bersama komuniti di Leicester amat rapat dan boleh dilihat dengan kesedihan penduduk setempat yang turut berkabung ekoran tragedi menyayat hati itu.
Vichai adalah watak utama yang membina skuad Leicester City sehingga berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2013/14 di bawah kendalian Claudio Ranieri.