Mengapa Billionaire China Mula Melabur Duit Dalam Sukan Bola Sepak

Sebelum kedatangan Didier Drogba dan Nicolas Anelka ke Chinese Super League pada 2012, satu-satunya kejadian di mana bola sepak China dibincangkan dalam peringkat global adalah ketika kejohanan Piala Dunia 2002.

Ketika itu bola sepak China hanya dibincangkan dalam konteks negatif.

China tewas semua perlawanan kumpulan (yang dihuni oleh Costa Rica, Brazil dan Turki) dan gagal menjaringkan sebarang gol.

Tetapi kini bola sepak China menjadi sebutan peminat bola sepak global. Mereka memanggil China sebagai tempat ‘where the money is’.

Rekod yuran perpindahan Chinese Super League pecah empat kali dalam masa sebulan ketika jendela perpindahan musim sejuk Eropah pada awal 2016.

Selepas perpindahan kontroversi Elkeson ke Shanghai SIPG, tiba giliran Alex Teixeira, Jackson Martinez, Gervinho dan Ramires pula untuk menjadi tajuk utama akhbar di China dan Eropah dengan perpindahan sensasi mereka ke China.

Selain membeli pemain ternama Eropah, beberapa kelab China juga mula melabur beratus-ratus juta dollar kepada pembangunan akar umbi bola sepak.

Secara spesifiknya, kepada akademi bola sepak.

Akademi bola sepak Evergrande

Dengan kos pembinaan sebanyak USD185 juta (RM739 juta), akademi bola sepak Guangzhou Evergrande di Qingyuan, Guandong merupakan akademi bola sepak termahal dan terbesar di dunia.

Menurut laporan CNN, pintu gerbang akademi Evergrande bagaikan pintu istana dari filem Disney.

bola sepak china 1
Sumber: CNN

Sebaik saja anda masuk ke dalam pintu gerbang mereka, anda akan nampak sebuah replika trofi Piala Dunia setinggi 40 kaki yang tersergam indah.

Sumber: CNN
Sumber: CNN

Ia dibina untuk mengingatkan pelajar akademi Evergrande tentang matlamat utama mereka – memenangi Piala Dunia untuk China pada satu hari nanti.

Di sekitar replika trofi Piala Dunia tersebut, pokok-pokok, lampu-lampu dan hiasan taman dijaga rapi bagaikan dalam taman bunga. Menurut laporan CNN lagi, taman itu sahaja sudah menelan kos USD30 juta (RM120 juta).

Di tengah-tengah kampus merupakan bangunan pusat yang nampak seperti bangunan Hogwarts, lengkap dengan menara jam besar. Di sinilah terletaknya pejabat staf akademi, kelas untuk hampir 3,000 pelajar, gimnasium, perpustakaan dan kantin.

Di kantin, pelajar Muslim mempunyai chef-chef khas yang diterbangkan khas dari wilayah barat Xinjiang untuk menyediakan menu makanan halal.

bola sepak china 5
Sumber: CNN

Jika anda berjalan lagi, anda akan nampak 50 padang bola sepak yang meliputi kawasan seluas 167 ekar.

Di kawasan ini juga terletaknya asrama pelajar, gelanggang bola keranjang, tenis, bola tampar, kolam renang bersaiz Olimpik dan panggung wayang.

Pendidikan mahal

Pada setiap hari persekolahan, 50 padang ini akan digunakan oleh pelajar-pelajar akademi untuk menjalani latihan.

Latihan bola sepak merupakan salah satu daripada 5 subjek yang diajar secara harian di akademi ini. 4 subjek lain adalah subjek tradisional seperti yang diajar di sekolah-sekolah lain.

Tetapi apa yang uniknya, pengurusan akademi Evergrande mewajibkan guru-guru subjek tradisional untuk mengajar subjek mereka dalam konteks bola sepak.

Contohnya, subjek Bahasa Inggeris akan diajar dengan menggunakan terma dan kosa kata bola sepak.

Pada setiap hari Sabtu, 50 padang akan penuh dengan perlawanan-perlawanan persahabatan yang melibatkan pelajar-pelajar akademi ini. Ibu bapa mereka dibenarkan untuk datang melawat dan menyaksikan anak mereka beraksi.

Bagi ibu bapa pelajar, mereka perlu membayar USD9,200 (RM36,740) setahun hanya untuk menghantar anak mereka bersekolah di akademi Evergrande.

Walaupun tiada jaminan anak-anak mereka akan bermain secara profesional kelak, mereka masih sanggup membayar.

Tetapi bagi pelajar-pelajar yang betul-betul berbakat, mereka akan ditawarkan biasiswa atau pinjaman kewangan.

Guna falsafah bola sepak Sepanyol

Akademi Evergrande jelas mengadaptasi falsafah bola sepak Sepanyol sebagai DNA bola sepak mereka apabila membawa masuk 24 jurulatih dari Sepanyol sebagai tenaga pengajar.

Sumber: CNN
Sumber: CNN

Kemasukan jurulatih-jurulatih akar umbi dari Sepanyol ini adalah hasil kerjasama Guangzhou Evergrande dengan Real Madrid pada tahun 2011 yang lepas.

Setiap jurulatih mempunyai seorang penterjemah yang akan menyampaikan mesej kepada pemain dalam bahasa Mandarin.

Ketika diminta mengulas tahap kemahiran pemain-pemain bimbingannya, Sergio Zarco Diaz, salah seorang jurulatih Sepanyol di akademi ini berkata:

“Pemain-pemain muda kami di sini mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi. Tapi kelemahan ketara mereka adalah dari segi taktikal. terutamanya dari segi kebijaksanaan membuat keputusan.”

Mengapa billionaire China melabur dalam bola sepak?

Disebalik beratus-ratus juta yang dilaburkan oleh kelab-kelab bola sepak China untuk membeli pemain bintang dan membina akademi bola sepak, sayangnya ia dilakukan bukan kerana cinta terhadap bola sepak.

Bagi kami, duit yang dilaburkan oleh billionaire China dalam bola sepak hanyalah ‘pelaburan kecil’ mereka untuk membolehkan presiden China, Xi Jinping terhutang budi kepada mereka.

Ini kerana Xi Jinping sendiri merupakan peminat tegar bola sepak dan mahu melihat China menjadi ‘negara bola sepak’.

Akhbar China dan UK pernah melaporkan Presiden Xi merupakan penyokong Manchester United.

Pada Mac 2015, Presiden Xi telah mengumumkan 50 pelannya untuk mentransformasikan bola sepak China dan melihat China layak dan menjulang Piala Dunia.

Antara isi 50 pelannya adalah:

  • memperbanyakkan padang bola sepak,
  • membina dua institut latihan khas bola sepak
  • dan menubuhkan 50,000 sekolah yang menawarkan program latihan bola sepak menjelang 2025.

Jadi dengan menolong Presiden Xi melaksanakan 50 pelannya, para billionaire China akan mempunyai hubungan yang rapat dengan lelaki paling berkuasa di China.

Kesimpulan

Ikon bola keranjang China dan bekas bintang NBA, Yao Ming melahirkan rasa cemburu beliau terhadap pelan reformasi bola sepak China yang dimulakan oleh presiden Xi Jinping sendiri.

“Sebagai bekas atlet bola keranjang, saya cemburu bila bola sepak dapat pelan reformasi seperti ini.”

Dengan adanya presiden yang gilakan bola sepak, disokong oleh para billionaire yang tidak kisah ‘membuang duit’, China berada di landasan betul untuk menjadi sebuah negara bola sepak.

Di Malaysia, industri bola sepak kita berpotensi besar untuk dilimpahi duit.

Sebagai sukan nombor satu di Malaysia, bola sepak mempunyai tarikan besar kepada banyak jutawan dan syarikat tempatan.

Tetapi untuk memenuhi potensinya, industri bola sepak kita memerlukan pemimpin yang gilakan bola sepak.

Dan ketika ini, kita tidak mempunyai seorang pun.

Baca juga: Guangzhou Evergrande Jual Penyerang Bintang Kepada Pesaing Liga Untuk ‘Kuatkan Bola Sepak China’

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN