Jaringan tunggal pemain muda, Muhammad Farhanuzi Che Sanuzi sudah cukup buat Puchong Fuerza FC untuk menundukkan juara bertahan, Axis-O2 PJ FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan ditangga teratas kumpulan A ini lebih dikuasai Puchong Fuerza FC yang mengawal permainan di babak pertama dengan baik serta berupaya mencipta beberapa serangan berbahaya.
Farhanuzi Che Sanuzi menceriakan kem Puchong Fuerza seawal minit ke-6 selepas beliau yang tidak dikawal menerima hantaran dari sepakan percuma pantas daripada Zulkefli Baharuddin untuk melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Axis-O2, Mohd Noor Azrin Adnan.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor itu untuk terus menambah jaringan tetapi dua percubaan yang dicipta berjaya dihalang Noor Azrin.
Axis-O2 PJ FC memiliki peluang tunggal bagi menyamakan kedudukan, namun tandukan cantik dari Mohammad Shahizan Ahmad Ismail dinafikan dengan cemerlang oleh penjaga gol Puchong Fuerza FC, Gabriel Sunday Aloysius pada minit ke-20.
Pertahanan Puchong Fuerza, Al Amin Abdullah hampir melakukan kesilapan setelah cubaannya untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil hantaran jauh dilakukan Shah Rizuan Shaari hampir membolosi gawang sendiri.
Memasuki babak kedua, Puchong Fuerza terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan.
Dua sepakan percuma dalam tempoh masa dua minit diperoleh Puchong Fuerza memaksa Noor Azrin bekerja keras dalam usaha menyelamatkan gawangnya dari terus dibolosi.
Usaha Axis-O2 PJ FC memburu jaringan penyamaan pada lewat permainan terutamanya menerusi dua sepakan percuma yang diberikan masih belum mampu untuk menjelmakan hasil diharapkan.
Jentera pertahanan dan penjaga gol Puchong Fuerza terus mempamerkan kekentalan luar biasa ketika bertahan apabila mereka masih tidak dibolosi dalam empat perlawanan berturut-turut.
Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Farhanuzi Che Sanuzi (Puchong Fuerza FC)