Duta ZXiV dan KRU Port Klang terpaksa berpuas hati dengan 1 mata untuk masing-masing selepas terikat 0-0 dalam aksi minggu ke-7 Kumpulan B Selangor Champions League 2018 di Arena MPSJ malam tadi.
Dengan kedua-dua pasukan sama kuat dan sedang menikmati prestasi cemerlang, sukar untuk menentukan pasukan mana yang lebih dominan. Bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah dengan Syazmin Firdaus bergelut menguasai jentera tengah menentang rakan sejawatannya dari KRU, Latiff Taib.
Ketika KRU Port Klang banyak menumpukan rancangan serangan mereka di tengah melalui input Latiff Taib, Duta ZXiV pula lebih banyak menyerang dari sayap kiri yang mendapat manfaat daripada larian-larian overlapping Hakeem Badri.
Peluang pertama perlawanan hadir pada minit ke-14 kepada KRU. Rosedy Muslim yang kelihatan berseorangan di hadapan tiba-tiba mendapat hantaran cantik dari tengah untuk melepasi kawalan Faizal Sumar. Mujur bagi ZXiV, penjaga gol mereka, Izzat Abdul Rahim pantas keluar dari pintu golnya untuk menyelamatkan keadaan.
2 minit kemudian, KRU menyerang lagi. Kali ini Huzaini Ikhram menerima hantaran dari kiri di dalam kotak penalti ZXiV, tetapi Izzat Abdul Rahim sekali lagi pantas keluar dari pintu golnya untuk menafikan KRU.
Pelan serangan ZXiV kerap kali tidak menjadi angkara kawalan ketat yang diberikan oleh Khairi Khandani kepada penyerang berbisa Medina Mbeguerre. Khairi langsung tidak memberikan walau seinci ruang kepada Medina sehinggakan beliau terpaksa mengutip kad kuning pada minit ke 25′ untuk menghentikan ZXiV daripada mendapat percubaan tepat pertama mereka.
Kelajuan Huzaini banyak membuat masalah buat ZXiV – terutamanya buat bek kanan mereka, Amirul Ahmad. Pada minit 31′ Huzaini menggunakan kelajuan lariannya untuk menewaskan Amirul sebelum memotong lariannya ke dalam untuk merembat. Mujurlah percubaan Huzaini terus ke dakapan Izzat Abdul Rahman.
Pada separuh masa kedua, Duta ZXiV dan KRU Port Klang kedua-duanya masih tidak dapat dibezakan dari segi dominasi. Kedua-duanya mempunyai peluang – meskipun bukan peluang jelas.
Rosedy Muslim mempunyai satu peluang pada minit 49’menerusi rembatan jarak jauh. Tetapi ia hanya beberapa inci melewati palang gol. Medina juga mempunyai detik beliau sendiri pada minit 61′, tetapi rembatannya sekadar menggegar sisi jaring.
Dengan kedua-dua pasukan ghairah mencari gol dan bertahan dengan baik, adalah tak menghairankan apabila perlawanan menjadi panas. Pada separuh masa kedua sahaja, pengadil melayangkan 3 kad kuning. Manakala pemain kedua-dua pasukan pula tumbang satu demi satu dek layangan bentesan yang semakin meliar.
Kedudukan terikat 0-0 sehingga tamat perlawanan untuk memberikan refleksi tepat perlawanan ini – sengit dan kompetitif – meskipun sedikit membosankan kerana tiada gol.
Pemain terbaik perlawanan: Khairi Khandani (KRU Port Klang)