SCL2018: Cheras Raptors Pamer Persembahan Efisien, Tewaskan Subang City 3-0

Cheras Raptors mencerahkan peluang layak ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Subang City 3-0 dalam perlawanan minggu ke-7 Kumpulan B Selangor Champions League 2018 di Arena MPSJ malam semalam.

Cheras Raptors menunjukkan dominasi mereka dari awal menerusi kawalan jentera tengah Amares Singh dan serangan bahagian sayap daripada Hamad Mabkhot dan Imran Samsudin. Jentera tengah Subang City yang biasanya dikawal oleh Naven Devarajoo agak tenggelam lantaran komitmen bertahan yang perlu dilakukan mereka untuk mengawal kelincahan dan hantaran lintang Hamad dan Imran.

Plot seterusnya mudah dijangka. Pada minit 23′, hantaran lintang Hamad Mabkhot dari kanan berjaya menemui kepala Shahlan Zakaria yang berjaya menewaskan perangkap ofsaid Subang City. Gol pembukaan dari Cheras Raptors ini sememangnya berhak menjadi milik mereka berdasarkan momentum serangan mereka.

Pemain tengah Cheras Raptors, Amares Singh (kanan) mempamerkan persembahan cemerlang di jentera tengah ketika menentang Subang City FC.

3 minit selepas gol pertama tadi, Cheras Raptors mendapat gol kedua pula. Kali ini penyerang Khairul Anuar yang digugurkan dalam 2 perlawanan sebelum ini membalas kepercayaan ketua jurulatihnya dengan menjaringkan gol. Meskipun rembatan belia berjaya ditampan oleh penjaga gol Subang City, Firdaus Shukor, ia masih tidak mencukupi untuk menafikan gol penyerang Raptors tersebut.

Mendahului 2-0, Raptors kemudiannya memulakan separuh masa kedua dengan intensiti yang sama. Tetapi dengan keadaan padang yang menjadi lebih basah dek hujan, Subang City mendapat beberapa peluang untuk menguji ball handling penjaga gol Cheras Raptors, Afiff Aizad.

5 minit selepas separuh masa kedua bermula, Subang City mendapat peluang pertama mereka hasil kesilapan mini Afiff. Tetapi mujur bagi Cheras Raptors, Afiff sempat menebus kesilapan beliau dengan reaksi yang pantas untuk mengeluarkan bola.

Pada minit ke-52, gol sepakan penjuru Subang City yang berpunca daripada handling lemah Afiff dibatalkan oleh pengadil yang mendakwa ada kekasaran berlaku dalam kotak penalti Raptors.

Tetapi Cheras Raptors menamatkan sisa-sisa kebangkitan Subang City pada minit ke-59 apabila Mukhlis Nazri berjaya merembat masuk gol ketiga pasukannya dari sudut sukar. Meskipun penjaga gol Subang City, Firdaus Shukor berjaya menangkap rembatan tersebut, kederasan percubaan Mukhlis dicampur dengan kesilapan Firdaus – sekali lagi – membolehkan bola bergolek masuk ke jaring.

Subang City perlu dipuji kerana masih mampu mempamerkan semangat melawan umpama Perak yang pada masa perlawanan ini berlangsung, sedang bertarung menentang Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam.

Kelincahan pemain sayap, Asyiff Zulkefli di kanan memaksa pertahanan Cheras Raptors untuk menjatuhkan beliau pada minit ke-65. Pengadil menghadiahkan sepakan percuma yang diambil oleh Naven Devarajoo. Meskipun teknik sepakannya baik dan hampir-hampir memperdaya Afiff, tetapi penjaga gol Raptors itu cepat bertindak menepis bola keluar untuk menyelamatkan keadaan.

Keputusan 3-0 ini setidak-tidaknya mengembalikan semangat Cheras Raptors yang baru-baru ini kecewa dengan keputusan rayuan kes menentang ZXiV yang tidak memihak mereka. Bagi Subang City, kekalahan ini mungkin telah menyamarkan peluang mereka untuk layak ke suku akhir.

Pemain terbaik perlawanan: Hamad Mabkhout (Cheras Raptors)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN