Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan juga mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengkritik cara PBSNT mengagihkan peruntukkan 30 000 keping tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang dilihat tidak teratur dan carca merba.
Beliau berkata keutamaan sepatutnya diberikan kepada penyokong setia skuad penyu untuk menyaksikan perlawanan akhir di antara Terengganu FC menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini.
Malah, Ahmad Said juga mengkritik kaedah pengurusan tiket oleh pihak persatuan yang dipercayai tidak mengikut prosedur betul menyebabkan kejadian penyokong pengsan dan berhimpit berulang.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan wujud kalangan yang menggunakan orang tengah dengan membeli secara banyak sebelum menjual tiket di pasaran gelap untuk mendapat untung berlipat ganda.
“Cara persatuan menjual tiket, saya mengesyaki pihak yang menguruskan tiket ini menggunakan cara yang tidak betul.
“Sebab kalau ada lebih kurang 30,000, buka satu dua jam sudah habis tiket. Mungkin yang menjual guna orang lain iaitu orang tengah yang beli banyak dan jual untuk dapat habuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Ahmad Said juga menyifatkan tindakan PBSNT yang hanya membuka satu kaunter jualan bagi menjual 2,000 tiket di Stadium Sultan Nasiruddin Shah sebagai tidak wajar.
Katanya, sudah tiba masanya persatuan mengubah kaedah itu dengan turut mencadangkan pembukaan kaunter khas untuk wanita.
“Orang beribu-ribu, satu kaunter saja dibuka, takkan tak boleh fikir sudah berpuluh tahun pengalaman.
“Bukalah 10 kaunter dan boleh buka satu saluran untuk wanita saja. Saya perhati benda ini,” katanya.