Mungkin ada yang hairan dan pelik apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani Rozaimi Abdul Rahman pada 2016. Ketika itu, dia dalam proses pemulihan daripada kecederaan kemalangan.
Pada awal musim 2018 pula, JDT membawa masuk pula penyerang muda, S. Kumaahran yang masih dalam proses pemulihan kecederaan ACL yang dialami ketika aksi Sukan SEA 2017.
Selain itu, Gary Steven Robbat pula masih kekal sebagai pemain walaupun kerap kali mengalami kecederaan panjang dan seringkali diketepikan – hanya 22 penampilan dalam tempoh 3 tahun.
Boleh jadi ada lagi contoh lain dan jika melihat trend pasukan lain, pemain sebegini sama ada akan dilepaskan – seperti Brendan Gan atau kekal sambil menunggu proses pemulihan.
Mengapa JDT rela kekalkan dan mengambil alih proses pemulihan sesetengah pemain? Ini adalah pendapat peribadi penulis yang mungkin ada kebenaran ataupun sebaliknya.
Rozaimi, Kumaahran dan Gary Steven Robbat
Pada Julai 2015, Rozaimi telah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan dijangka perlu berehat sehingga 6 bulan. Dia kemudian menyertai JDT pada Januari 2016, namun malangnya mengalami kecederaan ACL ketika dalam proses pemulihan.
Hanya pada musim 2017, pemain kelahiran Sabah ini mula membuat penampilan bersama JDT II di saingan Liga Premier. Ketika ditanya wartawan Berita Harian, dia mengakui yang penyertaannya ke JDT adalah disebabkan TMJ yang mahukan dia menjalani proses pemulihan di Johor Bahru.
Penyerang muda daripada Pulau Pinang, S. Kumaahran pula menyertai JDT pada Februari 2018. Kontraknya bersama Pulau Pinang berakhir pada penghujung 2017 dan dengan kecederaan yang dialaminya, dia ada meluahkan kerisauan mengenai status kontrak dan juga pasukan untuk musim 2018 kepada Astro Arena.
Namun, selepas luahan tersebut, Kumaahran diberitakan menerima tawaran untuk bersama JDT dan pada awalnya, pemain berusia 22 tahun itu agak keberatan kerana dirinya yang masih dibelenggu kecederaan ketika itu. Namun, akhirnya pada Februari 2018, Kumaahran sah menyarung jersi Harimau Selatan.
Seorang pemain berbakat besar pada usia mudanya, Gary Steven Robbat mampu beraksi seperti jeneral di dalam padang namun dia kini yang berusia 26 tahun dilihat kerap kali memanaskan bangku simpanan sahaja disamping melalui beberapa siri kecederaan.
Walaubagaimanapun, sehingga kini selepas 5 musim, Gary masih berada di dalam senarai pemain JDT untuk saingan Liga Super. Berbeza dengan pemain lain yang mungkin akan diturunkan pangkat ke pasukan Liga Premier iaitu JDT II ataupun dilepaskan.
JDT tambah baik Bahagian Sains Sukan
Umum mengetahui JDT sedang dalam proses menaiktaraf Bahagian Sains Sukan mereka antaranya dengan menjalinkan kerjasama dengan pakar perubatan Manchester City, Dr. Juan Manuel Boffa – pakar traumatologi bola sepak.
Kolaborasi bersama kepakaran luar negara ini dilihat sebagai satu usaha pihak pengurusan JDT untuk meningkatkan pemahaman dan pembangunan sains sukan di kalangan pegawai mereka.
Mereka juga baharu sahaja membuat pelaburan besar dengan membuat tempahan beberapa peralatan latihan berteknologi tinggi seperti Saliva Testing Kits, Super Inductive System, Hypervolt Vibration Massage Device dan sebagainya.
Menurut laporan daripada laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, kesemua alat tersebut berfungsi untuk;
- memantau kecergasan pemain
- membina kekuatan pesakit selepas berlaku kecederaan
- memulihkan kecederaan otot dan tisu lembut termasuklah berupaya mengurangkan tempoh pemulihan kecederaan seseorang pemain
Data daripada pemain yang cedera
Pada pendapat penulis, pemain yang cedera seperti Rozaimi, Kumaahran dan Gary Steven Robbat sebenarnya membantu JDT mengumpul data mengenai kecederaan tersebut – bagaimana ia berlaku, masa untuk pulih dan proses rawatan yang sesuai.
Seperti Rozaimi dan Kumaahran, Harimau Selatan bukan sahaja dapat mengumpul data mengenai kecederaan tersebut namun sekiranya pemain tersebut pulih sepenuhnya, mereka juga boleh beraksi bersama JDT – satu tindakan serampang dua mata.
Jadi, JDT hanya akan mengambil alih proses pemulihan pemain yang boleh memberi manfaat kepada mereka selepas pulih.
Rozaimi dan Kumaahran ketika ini sudah beraksi bersama JDT II dan Bahagian Sains Sukan mereka sudah tentu masih memantau perkembangan kedua-dua pemain ini untuk melihat bagaimana proses pemulihan yang dibuat memberi kesan kepada pemain.
Memetik kata-kata John Fitzpatrick, Pegawai Fisio di Newcastle United di Forbes tahun lalu, “Prediction is the holy grail of sport science. It could save us money by bringing a player through.”
Menurutnya lagi, dengan menggabung data ketika sesi latihan dengan data psikologi dan bimbingan, kita boleh mencipta profil tepat untuk setiap pemain samada pemain utama ataupun pemain muda yang berpotensi untuk diserap ke skuad utama.
Adakah peralatan-peralatan tersebut membantu?
Menurut pendedahan seorang fisio sebuah pasukan di Liga M yang dihubungi Semuanya BOLA, peralatan-peralatan yang dibawa masuk oleh JDT itu sememangnya membantu pemulihan para pemain tetapi tidaklah 100 peratus.
Pemulihan pemain bergantung juga kepada kondisi pemain, regim rehabilitasi yang dilaluinya, penjagaan kecederaan di rumah dan sebagainya – ia turut memberi kesan terhadap pemulihan pemain.
Selain itu, menurutnya lagi, pasukan di Malaysia belum lagi bersedia untuk membuat pelaburan ke arah itu kerana masih ada pilihan yang lebih murah iaitu seperti yang digunapakai ketika ini.
“Kalau gaji pun berkira, bagaimana hendak melabur yang ini?” ujarnya kepada Semuanya BOLA yang turut menyatakan yang selain JDT, UiTM juga memiliki prasarana sains sukan yang lengkap.
Beliau turut memberi contoh kelab-kelab seperti di United Kingdom (UK) yang tidak mengutamakan pelaburan untuk membeli peralatan sebegini kerana mereka akan mengadakan program attachment bersama universiti atau hospital tempatan yang memiliki fasiliti tersebut.
“Di Malaysia kita ada UiTM Shah Alam di zon tengah, Perak ada UPSI dan di utara ada UiTM Arau,” jelasnya lagi sambil memberi contoh apa yang dilalui oleh Firdaus Maasar di UK. Rujuk artikel ini.
Situasi di Malaysia
“Kita ambil contoh pemain import yang hadir untuk sesi percubaan bersama sesebuah pasukan namun tiada latarbelakang kecederaannya. Amalan ‘medical checkup’ yang dibuat di Malaysia adalah cek darah, cek air kencing, x-ray dan sebagainya.
“Untuk kecederaan kita tiada proses penilaian. UiTM dan PPUM ada sediakan servis untuk ujian ini tetapi pasukan tidak mahu keluar belanja,” ujarnya lanjut mengenai perkara ini.
Disebabkan itu, kita dapat lihat adakalanya sesetengah pasukan itu dirundung masalah apabila pemain import yang ditandatangani mengalami kecederaan hanya selepas beberapa perlawanan dan terpaksa berehat sepanjang tahun – kerap berlaku di Liga M.
“Tak mahu rugi RM1000 (untuk ujian), dah rugi setahun. Pemain itu makan gaji buta sampai habis kontrak,” tambahnya lagi yang pernah berkhidmat bersama 4 buah pasukan di Malaysia.
Penutup
Berkemungkinan yang JDT telah lama merancang pembangunan sains sukan. Jika dirujuk kepada kemasukkan Rozaimi ke dalam pasukan, ia mungkin bermula sejak 2016. Mereka jelas dan serius untuk menggunakan sains sukan untuk kejayaan pasukan.
Langkah demi langkah, kini mereka telah mendapatkan peralatan canggih untuk menambahbaik peralatan dan fasiliti sains sukan di JDT. Jadi, bukanlah satu omongan kosong, mereka memang sudah 50 langkah ke depan berbanding pasukan lain.
Namun, pasukan-pasukan lain secara kolektifnya masih belum bersedia. Dengan kocek pasukan yang kecil, mungkin kaedah lain boleh digunapakai. Kita juga ramai graduan sains sukan yang mungkin berminat sekiranya diberikan ruang dan peluang.
Tuntasnya, penulis merasakan yang penyertaan beberapa pemain yang mengalami masalah kecederaan yang memerlukan masa untuk pulih ke JDT bersebab. Harimau Selatan ‘mungkin’ sedang mengumpul maklumat dan data mengenai jenis kecederaan, proses rehabilitasi serta kesan selepas proses tersebut.
Data ini berguna untuk pasukan dan masa depan pasukan juga bergantung kepada data-data yang didapati daripada hasil yang telah dikumpul dan telah dikaji itu.