Selepas kecundang 3-0 di tangan Belanda tempoh hari, malang terus menimpa skuad kebangsaan Jerman selepas mengalami satu lagi kekalahan dalam saingan UEFA Nations League bertemu juara Piala Dunia 2018, Perancis awal pagi tadi.
Kekalahan tersebut merupakan kekalahan keenam mereka pada tahun 2018 ini.
Keadaan yang menyaksikan buat pertama kali skuad Jerman mengalami kekalahan sebanyak ini dalam jangka masa setahun.
Secara tidak langsung, enam kekalahan ini menjadikan rekod terburuk dicipta juara empat kali Piala Dunia tersebut.
Pada aksi yang berlangsung di Stade De France itu, Toni Kroos bagaimanapun terlebih dahulu menggembirakan kem Jerman pada minit ke-14.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Milorad Mazic selepas bola hantaran Leroy Sane dikesan terkena tangan Presnel Kimpembe dalam kawasan penalti.
Kedua-dua pasukan kemudiannya mempamerkan corak serangan pantas ke kubu lawan masing-masing, namun ia gagal menghasilkan jaringan yang diharapkan.
Griezmann kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 apabila pemain yang beraksi bersama Atletico Madrid dalam saingan La Liga itu berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Jerman untuk menewaskan Manuel Neuer.
Mazic menjadi tumpuan pada minit ke-79 selepas pengadil dari Serbia itu memberikan penalti buat Perancis apabila mendakwa Mats Hummels melakukan kekasaran terhadap Blaise Matuidi.
Keputusan yang dibuat Mazic itu boleh dikatakan agak kontroversi, namun pandangan beliau mungkin lebih jelas terhadap insiden tersebut.
Griezmann yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang yang diperolehi untuk jaringan kedua pada minit ke-80 yang sekaligus memberikan kemenangan 2-1 buat Perancis untuk terus menambah derita buat Jerman.
Kredit foto: google.com